Expired : 18.06.18

PH Selangor utuh, MB yakin menang PRK Semenyih

Keutuhan PH di Selangor memberi semangat positif untuk menang PRK Semenyih 2 Mac ini. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Keutuhan PH di Selangor memberi semangat positif untuk menang PRK Semenyih 2 Mac ini. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Keutuhan Pakatan Harapan (PH) di Selangor memberi semangat positif untuk parti itu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata lantikan jentera parti yang kuat juga mendorong kemenangan di kawasan itu. 


“Namun itu bukan bererti kita harus selesa, kita perlu terus bekerja keras untuk menjawab beberapa dakwaan dan tohmahan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W: Women, Welfare & Wellness di Padang Perbandaran Ampang Jaya, hari ini.


Ditanya mengenai kerjasama PAS dan Umno di PRK Semenyih, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata strategi kerjasama itu telah berlaku sejak PRK DUN Sungai Kandis meskipun tidak secara rasmi. 


“Ada ceramah-ceramah pimpinan PAS di Sungai Kandis, Seri Setia dan kita dapat hadapi, malahan di Balakong PAS membantu kempen MCA namun saya yakin kalau kita bersatu padu dan muafakat, rakyat akan terus beri mandat yang telah kita perolehi sebelum ini,” katanya.


PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.


Ia adalah PRK keempat diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Sebelum ini, Selangor menghadapi tiga PRK iaitu DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. — Bernama


Norlida Ishak Shop