Expired : 18.06.18

PH tidak pernah janji hapus tol, kata Tun M

PAKATAN Harapan tidak pernah berjanji akan menghapuskan tol dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, kebanyakan pemimpin gabungan parti pemerintah tidak membaca manifesto dengan baik, sebaliknya mereka terbawa-bawa dengan pandangan pembangkang.


“Ya, ada dibangkitkan (dalam temu rapat) bahawa ramai daripada kami tidak baca betul-betul manifesto kami sendiri.


“Kami tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol, tapi ini dianggap sebahagian manifesto kami, kadang-kadang kami terbawa dengan pandangan pihak pembangkang,” katanya pada sidang media sempena temu rapat PH di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kenyataannya mengenai PH menjadi mangsa manifesto turut dibincangkan dalam temu rapat kali ini.


Dua hari lalu, Mahathir mengakui kerajaan menjadi mangsa manifesto sendiri.


“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap.


“Tapi sekarang kami jadi kerajaan, kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri,” kata Mahathir.


Hari ini, Mahathir berkata, 60 peratus janji dalam manifesto PH sudah dilaksanakan sehingga kini.


Janji keenam dalam manifesto PH pada PRU14 lalu menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.


Semakan bagaimanapun mendapati, halaman ke-29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.


Semalam, pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd, Khazanah Nasional Bhd dilaporkan berkata, ia menerima banyak tawaran, tetapi tidak berminat menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.


Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan dilaporkan berkata, pihaknya menolak semua tawaran entiti swasta tempatan dan asing.


GST


Mahathir berkata, pertimbangan tidak bermakna kerajaan bersetuju dengan permintaan beberapa pihak untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).


“Apa yang saya katakan, jika rakyat mahukannya, ya mungkin kita akan pertimbangkan.


“Tapi, pertimbang bukan bermakna kita bersetuju, mungkin kita akan menambah baik SST (cukai jualan dan perkhidmatan), tapi media melaporkan seolah-olah kita telah bersetuju mansuhkan SST untuk laksanakan semula GST.”


The post PH tidak pernah janji hapus tol, kata Tun M appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop