Expired : 18.06.18

Pilihan Raya Tempatan Dijangka Sumbang Polarisasi Kaum Yang Lebih Kritikal – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Setelah lebih setahun, Pakatan Harapan (PH) tidak berupaya menjelaskan pendiriannya berkaitan pelaksanaan cadangan pilihan raya tempatan yang jelas sekali lagi menyerlahkan pemerintahan mereka tidak terarah, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan semalam, iaitu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah yang memaklumkan bahawa kertas kabinet berkenaan pelaksanaan pilihan raya tempatan akan dibentangkan akhir tahun ini sedangkan ia adalah salah satu janji PH dalam menifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).


“Saya merasa isu ini sangat penting dan jarang bahaskan. Namun implikasi pelaksanaannya kepada rakyat Malaysia sangat besar kerana ia akan mengubah lanskap politik Malaysia dengan drastik sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.



Jelas beliau, pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menyumbang kepada polarisasi kaum yang lebih kritikal.


“Kekhuatiran ini lahir daripada tanggapan bahawa di sesetengah bandar yang didominasi sesetengah kaum, ramai pengundi akan cenderung menyokong calon dari kalangan kaum mereka saja, maka ini sangatlah tidak baik kepada kemajmukan Malaysia.


“Malaysia tidak boleh dijarakkan lagi melalui dominasi kaum mengikut bandar, wilayah dan tempat. Kita mesti mencari jalan mengimbangkannya dan model sedia ada adalah baik namun perlu di perbaiki.”


Kedua, katanya, memperbaharui dan memodenkan fungsi PBT bukan semestinya melalui mengadakan pilihanraya tempatan sahaja.



“Ia memerlukan paradigma baru dalam tata kelola, undang-undang, tadbir urus, penguatkuasaan dan teknologi termaju. Proses pemilihan yang demokratik, walaupun baik, bukan jawapan kepada masalah PBT waktu ini.


“Kita harus menjauhkan PBT menjadi satu lagi medan politik yang akhirnya gagal mengutamakan kepentingan sebenar rakyat.”


Selaras dengan itu, beliau menyeru semua pihak meneliti impak pilihan raya tempatan ini secara serius.


“Kita jangan membiarkan PH dengan sewenangnya menukar aturan bagaimana masyarakat kita harus diurus dengan alasan demokrasi semata-mata,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop