Expired : 18.06.18

Pinda laporan audit 1MDB: Bicara Najib, Arul mula 18 November


KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tempoh 15 hari bermula 18 November 2019 sehingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas sebutan kali pertama kes itu dihadapannya.

Sebelum ini, Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Arul Kanda, yang diwakili Datuk N.Sivananthan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan terhadap mereka.

“Tarikh bicara ditetapkan antara 18 sehingga 29 November 2019 dan 13 sehingga 17 Januari 2020,” kata hakim Mohamed Zaini serta turut menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 25 dan 30 saksi.

Pada 12 Disember 2018 lalu, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Sehubungan itu, beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan yang sedang disediakan itu dipinda, sebelum ianya dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang secara langsung mempunyai kepentingan padanya.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, di antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan berkenaan, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul dibicarakan bersama. – Bernama


The post Pinda laporan audit 1MDB: Bicara Najib, Arul mula 18 November appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop