Expired : 18.06.18

Pisahkan Melayu dengan kaum lain, PM tempelak Umno-PAS

Kepentingan orang Melayu sentiasa dijaga oleh kerajaan PH, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri
Kepentingan orang Melayu sentiasa dijaga oleh kerajaan PH, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa kepentingan orang Melayu sentiasa dijaga oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kata perdana menteri, tidak perlu bagi kerajaan untuk bermegah-megah tentang usaha yang dijalankan bagi orang Melayu, berbeza dengan parti pembangkang seperti Umno dan PAS.


“Kami juga menjaga kepentingan orang Melayu, cuma kami tidak membuat heboh mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Penggal Kedua Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini hari ini.


Dr Mahathir ditanya tentang sokongan orang Melayu yang kelihatannya beralih kepada pihak UMNO-PAS, berdasarkan kepada dua kemenangan berturut-turut Barisan Nasional dalam dua pilihan raya kecil sejak dua bulan lepas.


Beliau turut menempelak Umno dan PAS, dengan mengatakan kedua-dua parti itu cuba memisahkan orang Melayu daripada kaum lain.


“Mereka cuba memisahkan orang Melayu daripada kaum lain dan perkara ini tidak baik bagi sebuah negara yang berbilang bangsa. Kepentingan orang Melayu akan dijaga oleh PH.


“Kami mahu memastikan bahawa ia bukan sahaja saksama tetapi juga adil. Hubungan kita mesti adil dan saksama, bukan hanya saksama tanpa keadilan. Kami telah menyatakan bahawa kami mahu kekayaan negara ini dibahagikan sama rata,” katanya.


Kepada soalan sama ada peralihan dalam sokongan Melayu mungkin mengakibatkan PH kehilangan beberapa negeri berikutan Umno dan PAS sedang menimbangkan untuk mewujudkan kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ di beberapa buah negeri, Dr Mahathir menjawab: “Kita tengoklah”.


Mengenai kerjasama perpaduan antara Umno and PAS, beliau  berkata kedua-dua parti itu mempunyai hak untuk berbuat demikian.


“Kalau dia nak bersatu, bersatu la. Kalau nak kahwin, kahwin la. Negara kita bebas,” katanya.


Umno dan PAS, selepas mewujudkan kesepakatan sejak Pilihan Raya Umum ke-14, secara rasmi menjalin hubungan politik sejak awal bulan ini untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.


Dalam isu berasingan, Dr Mahathir berkata kenyataan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung keputusan kerajaan untuk menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa merupakan pendapat baginda sendiri.


“Dia bukan wakil rakyat. Dia cakap untuk diri dia sahaja,” katanya.


Tunku Ismail dalam tweet rasmi baginda dilaporkan mendakwa Majlis Raja-Raja  tidak dirujuk terlebih dahulu berhubung isu itu. — Bernama


Norlida Ishak Shop