Expired : 18.06.18

PKP: MAINJ akan salur 13 jenis bantuan

JOHOR BAHRU, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyalurkan 13 jenis bantuan berjumlah RM5.71 juta kepada golongan yang ditimpa musibah akibat COVID-19 sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bantuan disalurkan itu termasuk pemberian wang tunai RM1,000, masing-masing kepada individu disahkan positif COVID-19, serta kepada keluarga atau waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia.


Beliau berkata, bagi kedua-dua kedua inisiatif itu, MAINJ memperuntukkan sebanyak RM210,000.


“MAINJ juga akan menyediakan bantuan keperluan asas bernilai RM100 dengan peruntukan RM50,000 untuk seisi rumah bagi kes ahli keluarga positif COVID-19, ahli keluarga sedang dikuarantin di pusat kuarantin dan ahli keluarga sedang dalam proses kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya kepada pemberita.


Bantuan barang keperluan asas dengan nilai sama melibatkan peruntukan RM2 juta juga akan diberikan untuk seisi rumah kepada keluarga terputus bekalan makanan disebabkan PKP, mereka tidak dapat bekerja sehingga kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan perintah.


Selain itu, tidak terkecuali daripada mendapat bantuan barangan keperluan asas dengan nilai sama ialah mereka berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), orang Asli di seluruh Johor dan pelajar tinggal di asrama madrasah-madrasah berdaftar dengan MAINJ yang terkesan dengan PKP.


Untuk inisiatif itu, beliau berkata, peruntukan yang disediakan ialah sebanyak RM478,000.


Katanya, bantuan lain pula mencakupi bantuan wang tunai berjumlah RM100 kepada tiga kumpulan iaitu individu ditempatkan di pusat kuarantin di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Johor; penerima bantuan sara hidup bulanan dan bantuan perubatan MAINJ serta penerima bantuan sara hidup Asnaf Saudara Baru.


Katanya, bagi Sara Hidup Bulanan MAINJ, terdapat seramai 16,402 penerima di seluruh Johor manakala Bantuan Perubatan (3,149 penerima).


Tosrin berkata, untuk segmen lain, MAINJ akan akan memberi bantuan Ihsan Johor sebanyak RM500 secara “one off” kepada peniaga kecil asnaf di bawah penyeliaannya serta memberi bantuan wang tunai RM200 seorang kepada pelajar dari Johor yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir dan RM300 seorang kepada pelajar Johor sedang melanjutkan pelajaran di Jordan.


Selain itu, beliau berkata, MAINJ juga akan menyumbang RM600,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi membeli keperluan aset perubatan, bukan perubatan serta lain-lain keperluan di semua hospital terlibat.


“Untuk bantuan-bantuan ini, permohonan daripada orang ramai mestilah melalui Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat MAINJ Daerah kerana mereka yang akan menyediakan borang permohonan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Tosrin berkata, pihaknya mengeluarkan dua garis panduan iaitu berhubung pengurusan jenazah pesakit COVID-19 serta program masjid dan surau untuk menyantuni ahli kariah dalam menghadapi wabak berkenaan.


Katanya, kedua-dua garis panduan itu dikeluarkan atas nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.


Katanya, Garis panduan program masjid dan surau untuk menyantuni ahli kariah diwujudkan dengan tujuan antara lain membantu meringankan tanggungjawab ahli keluarga sepanjang tempoh PKP dan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat rujukan maklumat.


“Ini penting supaya tatacara dapat dijadikan panduan sebaiknya oleh petugas dan waris jenazah COVID-19, sekali gus memastikan tuntutan fardu kifayah dapat dilaksana dengan sempurna dan mengelak sebarang jangkitan dan penularan virus ketika menguruskan jenazah,” kata beliau. – Bernama


The post PKP: MAINJ akan salur 13 jenis bantuan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.