Expired : 18.06.18

PKP: Makin ramai ditahan kerana ingkar arahan

KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kerajaan semakin bertegas apabila semakin ramai yang ditahan di seluruh negara, sejak ia dikuat kuasa 18 Mac lalu kerana ingkar arahan.


Antara tangkapan terbaru adalah di Petaling Jaya, di mana seramai 15 individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai mengingkari PKP di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.


Kesalahan mereka yang ditahan adalah kerana keperluan pergerakan mereka yang tidak tersenarai sebagaimana peruntukan Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.


Polis juga menahan tujuh lelaki tempatan kerana melanggar PKP dalam dua kes berasingan di Kuala Selangor dan Bestari Jaya.


Di Kedah pula, polis menahan 11 lelaki kerana terlibat dalam pergaduhan serta mengingkari PKP di Taman Selasih, Kulim.


Di Sarawak pula, seramai 28 individu ditahan yang terdiri daripada 24 lelaki dan empat wanita kerana melanggar PKP.


Di George Town, Pulau Pinang, polis menahan tujuh lelaki yang sedang leka bersukan termasuk berjoging di sebuah padang awam di Pulau Tikus, semalam ditahan kerana ingkar dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pada mulanya polis yang meronda di kawasan berkenaan melihat enam lelaki sedang leka bermain bola sepak manakala seorang lagi berjoging di situ, sebelum seoreang anggota polis memberi nasihat supaya mereka bersurai dan pulang ke rumah.


Bagaimanapun mereka memberi alasan hanya bersenam dan bukan saja-saja berkumpul, lalu polis menahan kesemua mereka.


Semua tangkapan itu membuktikan bahawa kerajaan amat serius dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana orang awam yang masih berdegil dan keluar rumah.


Apatah lagi ia bertujuan memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kerajaan itu dapat dipertingkatkan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.


Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan tindakan lebih ‘keras’ akan dilaksanakan pada minggu kedua PKP kepada orang ramai yang masih ingkar PKP.


Menurutnya, untuk minggu pertama PKP sebelum ini, polis mengambil tindakan secara berhemah dan memberi nasihat dengan baik kepada orang awam untuk mengurangkan pergerakan tetapi dalam minggu kedua, penguatkuasaan PKP akan menjadi lebih tegas. – Bernama


The post PKP: Makin ramai ditahan kerana ingkar arahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.