Expired : 18.06.18

PKP: Parti liar lagi, apa nak jadilah...

SERAMAI 34 individu, termasuk dua penjawat awam ditahan ketika leka berhibur dalam parti liar di dua apartmen berasingan di Johor Bahru dan di Masai, malam kelmarin dan semalam.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat lima serbuan berasingan di dua apartmen berkenaan hasil makluman awam dan risikan.


Beliau berkata, dalam lima serbuan yang diadakan selama dua hari di dua apartmen di Johor Bahru dan Masai itu, pihaknya menahan 23 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 31 tahun sedang leka berhibur sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Dalam serbuan berkenaan juga lapan individu yang ditahan didapati memiliki dadah jenis ketamin (6.68 gram), pil ecstacy (20 biji) dan pil eramin 5 (tiga biji).


“Hasil ujian air kencing mendapati seramai 20 lelaki dan lapan perempuan yang ditahan itu positif dadah ketamin, malah siasatan mendapati mereka bukan penghuni di dua apartmen, selain gagal memberikan alasan munasabah untuk berkumpul, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.


SEBAHAGIAN individu yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN individu yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan PDRM

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, hasil semakan lanjut mendapati tiga suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala dua penjawat awam masih lagi di dalam perkhidmatan kerajaan.


Katanya, seramai enam suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala yang positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Kesemua 34 suspek turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.


“Kesemua suspek yang ditahan kini direman mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 sejak kelmarin hingga Jumaat ini, ” katanya.