Expired : 18.06.18

PKR bengang Tun M terima bekas ahli UMNO sertai PH


IPOH, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Parti komponen Pakatan Harapan (PH), PKR meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengalu-alukan keanggotaan tujuh anggota Parlimen UMNO, semalam.


Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang membantah tindakan itu turut menyifatkannya sebagai satu ‘pengkhianatan’ terhadap rakyat.


Ahli Parlimen Tanjung Malim itu kecewa kerana Dr Mahathir telah melupakan kata-kata beliau untuk tidak menerima ahli UMNO ke dalam parti komponen PH.


“Dr Mahathir telah menyatakan dengan tegas pada Mei 2018, bahawa Pakatan tidak akan menerima ahli UMNO ke dalam parti-parti Pakatan.


“Ia agak mengecewakan kerana dalam masa kurang daripada setahun, Dr Mahathir telah mengengkari kata-katanya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penyertaan tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.


Mereka adalah Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Shahbudin Yahya (Tasik Gelugor). Manakala, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sudah lama diterima menjadi ahli Bersatu.


Memetik laporan The Star, Chang berkata, penerimaan enam anggota bekas UMNO itu tidak akan menguatkan sokongan orang Melayu di kawasan luar bandar.


Katanya, semua tujuh Ahli Parlimen itu menyertai Bersatu bukan kerana prinsip.


Chang berkata, kebanyakan mereka itu pernah berkhidmat dan memegang jawatan kanan dalam pentadbiran terdahulu, malah ada juga menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Mereka tidak bersuara untuk rakyat dan negara ketika mereka berkuasa, sebaliknya menjadi rejim yang korup. Walaupun ada Ahli Parlimen itu seperti ‘malaikat yang tidak bersalah’, mereka harus kekal dalam blok pembangkang kerana demokrasi hanya dapat berkembang dengan kehadiran pembangkang yang kuat.


“Peneroka, petani, nelayan, penoreh getah, pekerja ladang dan rakyat Felda hanya mahu hidup mereka diperbaiki. Sekiranya kerajaan dapat meringankan beban mereka dan memberi mereka mata pencarian yang selamat, penduduk luar bandar akan menyokong Pakatan, tanpa mengira kaum.


“Saya menggesa Majlis Presiden Pakatan  membuat keputusan yang mantap untuk menolak Ahli Parlimen Barisan daripada menyertai mana-mana parti komponen Pakatan,” katanya.


The post PKR bengang Tun M terima bekas ahli UMNO sertai PH appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop