Expired : 18.06.18

PM mesti haramkan Dong Zong


BANGI, 12 Zulhijjah 1440H, Selasa – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas terhadap Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Desakan itu disuarakan selepas kumpulan pendesak Cina berkenaan merancang untuk melancarkan petisyen menentang sukatan pelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, walaupun Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjadi subjek peperiksaan, selain dilaksana secara pilihan.


Exco Penerangan Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, tindakan tegas terhadap kumpulan itu juga perlu sebagai pengajaran kepada gerakan rasis dan cauvinis Cina yang lain.


“Pemuda Isma menyeru Perdana Menteri haramkan Dong Zong. Pemuda Isma turut menyokong kenyataan Tun M bahawa Dong Zhong sebuah persatuan yang rasis,” kata beliau kepada Ismaweb.net.


Semalam, Dr Mahathir menyifatkan pertubuhan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk berkaitan isu tulisan khat serta jawi di sekolah.


Perdana Menteri berkata, selain dalam isu berkenaan, kumpulan itu juga sebelum ini membantah penubuhan Sekolah Wawasan.


“Dong Zong ini rasis, kita buat sekolah satu kampus Sekolah Wawasan nak letak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus, mereka tidak mahu.


“Sebabnya (mereka) takut anak-anak dia bercampur dengan Melayu, jadi dia tidak mahu. Semuanya (yang dilaksanakan kerajaan) dia bantah, tidak pernah bersetuju dengan apa pun,” kata beliau.


Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau jawi menerima bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).


Baru-baru ini, Dong Zong mengumumkan akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.


Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata kempen itu akan mendapat sokongan daripada persatuan Cina, lembaga pendidikan, persatuan ibu bapa dan guru dan kumpulan alumni.


The post PM mesti haramkan Dong Zong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop