Expired : 18.06.18

PM: Rakyat tolak pemimpin gaji besar, naik pesawat percuma

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua ahli parti agar menceburkan diri dalam parti politik dengan niat yang bersih. — Foto oleh Mukhriz Hazim
Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua ahli parti agar menceburkan diri dalam parti politik dengan niat yang bersih. — Foto oleh Mukhriz Hazim

SERDANG, 21 Julai — Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya parti politik yang betul-betul memperjuangkan bangsa, agama dan negara sahaja akan menjadi pilihan rakyat seperti yang tercatat dalam lipatan sejarah negara dan berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini.

Perdana menteri berkata perjuangan dalam politik bukanlah untuk kepentingan individu semata-mata, sebaliknya ia perlu dilakukan demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.


“Jika kita fokus pada nikmat kekayaan, kita akan kalah dan ini terjadi kepada Umno yang dahulunya berjuang untuk kemerdekaan dan rakyat, sebelum lari daripada perjuangan dan akhirnya ditumbangkan rakyat, “ katanya.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata demikian ketika berucap merasmikan perhimpunan agung khas parti tersebut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.


Justeru, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya mengetepikan kepentingan diri sendiri dan kekal terus memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air jika ingin terus menjadi pemimpin dipilih rakyat.


Dr Mahathir menegaskan ini kerana apabila menjadi pemimpin parti politik dan diangkat ke dalam pentadbiran negara, kedudukan dalam kerajaan bukan bermakna kemudahan untuk mendapat jawatan dan keistimewaan tertentu.


"Apabila kita dapat kemerdekaan sudah tentu kita perlu isi jawatan dalam kerajaan, ada jadi Perdana Menteri, ada yang perlu jadi Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Menteri Besar dan sebagainya, tidak dapat tidak (sudah tentu) ada mereka yang perlu dibayar gajinya, diberi kehormatan.


"Apabila ini berlaku timbullah perasaan di kalangan ramai orang Melayu yang berbakat bahawa mereka juga ingin mendapat nikmat bagi diri sendiri daripada perjuangan politik orang Melayu.


"Bermulalah perasaan bahawa keahlian mereka, kepimpinan mereka dalam parti boleh diguna untuk kepentingan diri.


"Tidak mungkin kita ada 100 Perdana Menteri, semuanya dapat gaji besar, dapat naik kapal terbang percuma, kalau itu perjuangan kita percayalah kita tidak akan dapat bertahan seminggu pun, orang (rakyat) akan tolak kita kerana kita akan dipandang jijik," katanya yang disambut tepukan gemuruh.


Justeru, beliau mengingatkan semua ahli parti agar menceburkan diri dalam parti politik dengan niat yang bersih dan tidak berputus asa jika tidak terpilih dalam kepimpinan parti atau kepimpinan negara.


Parti politik memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pentadbiran agar kejayaan dan kekayaan negara dapat dinikmati rakyat, kata Dr Mahathir.


Turut hadir presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan 1,215 anggota perwakilan seluruh negara. — Bernama


Norlida Ishak Shop