Expired : 18.06.18

Pogba teruja nak beraksi semula

BINTANG Manchester United, Paul Pogba berkata dia tidak sabar untuk kembali beraksi sebaik aksi bola sepak bersambung semula selepas ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.


Pemenang Piala Dunia itu hanya melakukan lapan penampilan bersama United musim ini selepas berdepan dengan kecederaan buku lali.


“Saya sudah menjalani latihan dan bermain bola,” kata Pogba yang tidak beraksi sejak Disember tahun lalu.


“Dulu saya berasa sangat kecewa. Sekarang saya hampir pulih, jadi saya hanya fikir untuk kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan.


“Mungkin anda rasa prestasi saya teruk tetapi saya tidak pernah melalui pengalaman ini sepanjang karier saya. Jadi saya hanya mahu bersikap positif.


“Pengalaman ini menjadikan saya begitu teruja untuk kembali beraksi semula dan melakukan yang terbaik. Ia menunjukkan betapa saya begitu meminati bola sepak,” katanya.


Ejen Pogba, Mino Raiola sudah memberi bayangan pemain berusia 27 tahun itu mungkin akan meninggalkan Old Trafford jika dia tidak gembira selepas berakhir kempen musim ini.


Bagaimanapun, Liga Perdana kini ditangguhkan berikutan penularan Covid-19 yang sudah meragut banyak nyawa.


“Anda perlu sentiasa bersabar kerana dengan kecederaan yang saya alami, saya tidak pasti sama orang di luar memahami apa yang berlaku.


“Saya mengalami kecederaan di kaki ketika bertemu Southampton. Ia berlaku pada awal musim dan saya terpaksa menghadapinya dalam tempoh yang lama. Selepas itu saya dapati di bahagian kecederaan itu mengalami keretakan,” kata Pogba.