Expired : 18.06.18

Polis buru saki-baki anggota sindiket MyKad, sijil lahir tak sah


GEORGE TOWN, 12 Muharram 1441H, Khamis – Polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (Mykad) secara tidak sah, dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasegaran hari ini, berkata, masih terdapat lagi saki baki anggota sindiket berkenaan yang dipercayai masih bersembunyi ketika ini dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.


“Walaupun enam orang, termasuk pegawai kanan JPN yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan telah didakwa di mahkamah hari ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan kerana kami percaya masih terdapat lagi anggota sindiket berkenaan.


“Polis juga sedang mengesan pembeli Mykad dan sijil kelahiran daripada sindiket itu dan meminta mereka yang pernah membeli (dokumen-dokumen pengenalan ini) untuk tampil membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, selepas Majlis Pelancaran E-Bicycle dan Penugasan Strategik Unit Polis Pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini.


Beliau mengulas berhubung penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai kanan JPN yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah di Pulau Pinang.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, suspek yang ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.


Sementara itu, Narenasegaran berkata, Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil masa lebih tiga bulan untuk menjalankan risikan serta siasatan berhubung kegiatan itu sebelum berjaya membongkar sindiket berkenaan.


Katanya, pihaknya juga masih menyiasat sejak bila dan berapa banyak Mykad dan sijil kelahiran yang telah dijual kepada warga asing oleh sindiket berkenaan.


“Sindiket itu mengenakan bayaran yang tinggi iaitu bermula antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki MyKad atau sijil kelahiran berkenaan, dan kami percaya kegiatan mereka (sindiket) sangat teliti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. -Bernama


The post Polis buru saki-baki anggota sindiket MyKad, sijil lahir tak sah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop