Expired : 18.06.18

Polis masih siasat kehilangan Acap

POLIS menafikan kenyataan individu di laman sosial mendakwa misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 29, sudah terungkai dan polis akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.


Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kes kehilangan Mohammad Ashraf, 29, masih lagi dalam siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut kes orang hilang.


Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhenti mengeluar kenyataan sehingga menjadi tular bagi mengelakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terganggu sekaligus menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa.


“Kita tidak mahu individu membuat tular yang tidak disertakan dengan fakta yang betul kerana siasatan kita lebih menjurus kepada fakta dan bukti tertentu.


“Kenyataan individu mengatakan dia membongkar dan polis sudah diberitahu adalah satu perkara yang tidak betul, malah dia tidak berjumpa kita sebaliknya terus menularkan kenyataan ke laman sosial, jadi jangan ambil peluang untuk mengeruhkan keadaan serta menjadikan situasi lebih kusut,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-212 di Ipoh, hari ini.


Razarudin berkata, dari segi sudut kerohanian (spiritual) pihaknya tidak mahu mendedahkan perkara itu, sebaliknya siasatan dijalankan berlandaskan fakta siasatan polis.


“Setakat ini, polis sudah melengkapkan kertas siasatan seramai tujuh individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bebas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Mohammad Ashraf.


“Semakan turut dibuat termasuk membuat pemeriksaan terhadap akaun bank, pergerakan kereta, komunikasi menerusi telefon bimbitnya dan hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat,” katanya.


Menurutnya, pihaknya yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman akan menjalankan operasi pencarian lain di bahagian kaki bukit pada Sabtu ini.


“Untuk makluman, hari Sabtu ini pihak kita akan mengatur pencarian lain pada sebelah pagi di kawasan kaki bukit, di lokasi orang belum cari lagi.


“Operasi itu dijalankan dalam skala yang kecil, namun kita fokus di lokasi lain daripada lokasi pencarian,” katanya.


Norlida Ishak Shop