Expired : 18.06.18

Polis minta kes langgar lelaki tidak dimanipulasi


BANGI, 11 Zulhijjah 1440H, Isnin – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi insiden kemalangan di Kilometer 239.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kajang, yang menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pelbagai spekulasi dibuat menerusi media sosial, bahkan turut dikesan usaha sesetengah pihak memanipulasi insiden berkenaan bagi membangkitkan sentimen perkauman, yang boleh menjejaskan perpaduan masyarat serta ketenteraman awam.


Beliau dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian berkenaan.


“Tangkapan telah pun dibuat ke atas suspek-suspek yang terbabit dan pihak polis turut merayu saksi-saki yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.


“PDRM menasihati masyarakat agar tidak menyalahgunakan rangkaian komunikasi dengan cara yang boleh memecahbelahkan serta menganggu gugat perpaduan antara kaum, lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan,” katanya.


Dalam kejadian jam 1.40 petang Sabtu lalu, Syed Muhammad Danial, 29, maut selepas berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bangi.


Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 40 dan 36 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan.


The post Polis minta kes langgar lelaki tidak dimanipulasi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop