Expired : 18.06.18

Polis tahan lima ‘tokan’ heroin, ganja di Kluang


KLUANG, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Empat lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai ‘tokan dadah’ ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan, semalam, dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan ganja di daerah ini.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Abduh Ismail berkata, polis turut merampas sejumlah dadah yang keseluruhannya dianggar bernilai RM37,069.50 daripada mereka dan penahanan serta rampasan bermula 8 pagi hingga 9 malam itu merupakan kejayaan terbesar pihaknya, tahun ini.


Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Taman Anggerik, dua lelaki tempatan berusia 34 dan 56 tahun ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 935.89 gram dengan anggaran pasaran bernilai RM3,800.


Kedua-duanya didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).


“Dalam serbuan kedua, di sekitar bandar Kluang pula, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan bersama 1.2 kilogram dadah jenis heroin dengan nilai pasaran RM30,925.


“Turut dirampas bersama dengan lelaki yang didapati positif morfin berkenaan ialah sebuah kereta Proton Wira dan Toyota Innova dengan nilai sitaan RM32,300,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Mohd Abduh berkata, dalam serbuan ketiga di Taman Sri Impian pula, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita berumur 32 dan 30 tahun dengan kedua-duanya didapati positif dadah jenis morfin.


Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 93.78 gram dengan nilai pasaran RM2,344.50 dan wang tunai berjumlah RM500.


“Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama


The post Polis tahan lima ‘tokan’ heroin, ganja di Kluang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop