Expired : 18.06.18

Polis terima 5 laporan pembuangan sisa kimia di Johor


JOHOR, 2 Rejab 1440H, Sabtu – Polis menerima lima laporan berhubung pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, setakat semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua laporan yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dibuat oleh orang awam terdiri daripada keluarga pelajar dan penduduk di sekitar kawasan terlibat.

Walaupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan, tetapi polis juga turut membuka kertas siasatan bagi mencari dalang di sebalik kejadian itu.

“Kita akan mengesan dalang yang sepatutnya bertanggungjawab dalam pembuangan sisa kimia ini yang secara terang tidak menghiraukan keselamatan serta nyawa manusia apatah lagi alam sekitar,” katanya.

Ia adalah satu jenayah kepada alam sekitar dan manusia juga, katanya selepas perasmian program Hari Bertemu Pelanggan Mega PDRM Johor 2019, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

“Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan manusia, dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan JAS Johor bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan sisa bahan kimia itu.

Khamis lalu, hampir 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu sekitar jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar dilaporkan muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim kira-kira jam 2 pagi oleh pihak yang masih belum dikenal pasti.

Justeru, beliau turut menyeru orang ramai yang melihat aktiviti mencurigakan berhubung pembuangan sisa bahan kimia terbabit tampil memberi maklumat kepada pihak polis di balai berdekatan. – Bernama


The post Polis terima 5 laporan pembuangan sisa kimia di Johor appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop