Expired : 18.06.18

Polis terima 91 laporan hina Agong setakat semalam


BANGI, 7 Syaaban 1440H – Sebanyak 91 laporan diterima berhubung tindakan jelik pemilik Facebook Sabah-Sarawak Merdeka apabila menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setakat semalam.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan perbuatan cenderung kepada cubaan menghasut.


“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-keduanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada masa sama, beliau juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi.


Katanya, ia boleh menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.


Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam tindakan pemilik Facebook Sabah-Sarawak Merdeka yang mengubah gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Menyifatkannya sebagai melampau, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan mengubah gambar Seri Paduka Baginda adalah perbuatan menghina raja yang melanggar undang-undang negara.


Sejak kelmarin, tular beberapa gambar Al-Sultan Abdullah yang diubah, malah dimuat naik status biadab bagi mencetuskan provokasi.


The post Polis terima 91 laporan hina Agong setakat semalam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop