Expired : 18.06.18

Pos hingga ke Brunei [METROTV]

“BATU nisan yang sudah siap kami pos kepada pelanggan yang membelinya secara dalam talian. Ia kami pos ke seluruh negara selain Brunei,” kata Wan Mohd Zareem Wan Zainal Abidin, pemilik syarikat Nisan Rich di Taman Kajang Sentral, Kajang.


Wan Mohd Zareem mengusahakan perniagaan penghasilan serta penjualan batu nisan dengan isterinya, Fazilatul Liza Mohd Idris, 37, sejak lima tahun lalu.


Katanya, pihaknya adalah satu daripada dua peniaga batu nisan yang menjalankan perniagaan dalam talian.


WAN Mohd Zareem (kiri) bersama Fazilatul Liza melihat rekabentuk batu nisan untuk pelanggannya. FOTO Rosela Ismail



“Penjualan batu nisan secara dalam talian lebih mudah dan 60 peratus pelanggan kami menempahnya melalui kaedah ini.


“Pada masa sama, ia memudahkan pelanggan kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kos untuk datang atau melakukan proses lain.


“Sebaliknya, pelanggan hanya perlu memilih jenis batu nisan dan dengan bayaran penghantaran, batu nisan itu kami bungkus sebelum dipos kepada mereka,” katanya.


PELEKAT reka bentuk dan tulisan dilekat atas batu nisan. FOTO Rosela Ismail



Penghantaran pula berdasarkan jenis pengangkutan di mana bagi Semenanjung, ia mengambil masa antara sehari ke dua hari.


Bagi Sabah, Sarawak serta Brunei, ia mengambil lima hari hingga tiga minggu jika menggunakan pesawat atau jalan laut.


Menurut Wan Mohd Zareem, syarikatnya menjual lebih 16 jenis batu nisan pada harga RM250 hingga RM800.


Wan Mohd Zareem berkata, bagi memudahkan proses penghasilan batu nisan, pihaknya menggunakan mesin khas dikendalikan lima pekerja.


PROSES mengilatkan batu nisan. FOTO Rosela Ismail



“Kami menggunakan mesin cetak grafik, mesin pelarik batu serta alat menembak partikel pasir (sandblasting) bagi menyiapkan batu nisan ditempah.


“Ia lebih licin serta kemas kerana lebih banyak menggunakan mesin berbanding kaedah tradisional,” katanya.


Menurut Wan Mohd Zareem yang memulakan perniagaan itu dengan modal RM5,000, dia mempelajari teknik penghasilan batu nisan itu daripada rakan bapanya di Kelantan.


“Masa paling sibuk ialah ketika musim perayaan di mana ketika itu, ramai membuat tempahan bagi menggantikan batu nisan ahli keluarga,” katanya.


PELBAGAI jenis dan reka bentuk batu nisan yang boleh didapati di Nisan Rich. FOTO Rosela Ismail



Kuah selesa guna kaedah lama


Kuah Leong Chuan, 64, menghasilkan batu nisan yang siap diukir nama si mati dengan tulisan jawi secara pahatan sejak 48 tahun lalu.


Walaupun mengambil masa namun Kuah bangga kerana hingga kini, sudah ribuan batu nisan dihasilkannya.


“Saya tidak ingat jumlah sebenar namun saya percaya, hasil kerja tangan saya pasti ada di setiap tanah perkuburan Islam di Kuala Selangor selain banyak lagi di seluruh negeri ini.


“Kerjaya ini bermula selepas saya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Ketika itu, saya sukar mendapatkan kerja,” katanya ditemui di kedainya di Jalan Stesen, kini dikenali sebagai Jalan Sultan Ibrahim, Pekan Lama, Kuala Selangor.


KUAH tekun menyiapkan tempahan batu nisan di bengkelnya di Pekan Lama Kuala Selangor. FOTO Saddam Yusoff



Menurut Kuah, sebelum ini, ada empat peniaga batu nisan sepertinya namun kini, hanya tinggal dia seorang kerana perniagaan berkenaan tidak diteruskan waris masing-masing.


Katanya, dia lebih selesa menggunakan kaedah lama iaitu memahat batu nisan demi mengekalkan perniagaan yang diturunkan daripada nenek moyang.


“Bagi proses memahat batu nisan, semuanya saya lakukan sendiri melalui kaedah insani bermula daripada peringkat memecahkan batu granit untuk dijadikan bongkah kecil sehinggalah kepada memahat tulisan jawi di permukaan batu nisan.


“Batu granit pula saya ambil di sekeliling pondok dijadikan kedai ini. Daripada memecahkan batu, pahat, semuanya saya buat sendiri tanpa menggunakan sebarang acuan,” katanya.


KUAH mencari urat batu granit untuk membuat batu nisan. FOTO Saddam Yusoff



Batu nisan dihasilkan Kuah dijual pada harga RM160 hingga RM700. Ia siap dalam tempoh tiga hari hingga dua minggu dan apabila siap, pelanggan akan datang mengambilnya.


“Ramai yang bertanya bagaimana saya tahu menulis jawi. Kemahiran ini saya peroleh daripada rakan serta pelanggan Melayu.


“Saya mengambil masa bertahun-tahun untuk mempelajarinya namun saya gembira kerana ia cukup berguna untuk kerjaya ini,” katanya.


KUAH mengukir batu granit untuk dijadikan batu nisan. FOTO Saddam Yusoff



Menurut Kuah, tiada sesiapa yang berminat untuk meneruskan legasinya kerana kerjaya itu tidak kelihatan bergaya selain perlu menggunakan sepenuh kudrat.


“Saya sedia mengajar mana-mana pihak. Dulu ada orang yang belajar dengan saya namun dia tidak tahan berikutan kerja ini memakan masa selain tidak mendatangkan keuntungan besar,” katanya.


KEMAHIRAN menulis jawi dipelajari oleh Kuah daripada pelanggan Melayu. FOTO Saddam Yusoff



Tiada kewajipan letak batu nisan


Tiada kewajipan untuk meletakkan batu nisan dan ia hanya sekadar penanda aras bagi menandakan itu adalah kubur.


Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, ia turut bertindak sebagai penanda aras bagi memberitahu pemilik kubur itu.


“Kalau kita letak batu biasa pun sudah memadai dan cukup sekadar diletakkan di bahagian kepala dan juga kaki. Nama pun tak perlu berikutan tiada kewajipan.


“Bagaimanapun, Islam melarang sekiranya mereka membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi batu nisan sehingga berlaku pembaziran,” katanya.


Menurut beliau, tidak digalakkan penggunaan sebarang kalimah Allah pada batu nisan.


“Kita bimbang sekiranya ada orang terpijak atau terlangkah sebab kadang-kadang batu nisan ini dicabut untuk tujuan tertentu.


“Jadi saya lebih cenderung supaya orang tidak tulis. Sekiranya nak tulis al-Fatihah boleh, namun bukan seluruh ayat daripada surah itu,” katanya.


DR Mohammad Nidzam. FOTO Rohanis Shukri.



Dalam pada itu, Mohammad Nidzam menjelaskan, tiada larangan bagi orang bukan Islam menjalankan perusahaan batu nisan termasuk keranda untuk orang beragama Islam.


Katanya lagi, kubur adalah tempat untuk orang Islam supaya sentiasa ingat pada hari akhirat.


“Jadi kita tidak perlu menghiaskan kubur sehingga macam nak memuja. Sekiranya ia kelihatan seperti ritual (upacara) memang wajib untuk dielakkan.


“Sebaiknya, kubur itu berada dalam keadaan biasa dan ziarah hanya sekadar mengingat pada hari kematian selain berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa si mati,” katanya.


Norlida Ishak Shop