Expired : 18.06.18

POWR: GLC rosak dipimpin wakil rakyat kerajaan

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kesemua ahli parlimen kerajaan akan dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikritik Projek Wawasan Rakyat (POWR). ― Foto oleh Miera Zulyana
Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kesemua ahli parlimen kerajaan akan dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikritik Projek Wawasan Rakyat (POWR). ― Foto oleh Miera Zulyana

KUALA LUMPUR, 14 April — Kerajaan tidak seharusnya melantik ahli politik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Projek Wawasan Rakyat (POWR) dalam satu kenyataan berkata, GLC merupakan pemacu utama ekonomi dan adalah tidak sesuai jika ia diketuai ahli politik.


“Kami menggesa kerajaan persekutuan tidak melantik ahli parlimen untuk mengetuai GLC, sebaliknya melantik individu non-partisan yang paling berkelayakan dan berwibawa untuk mengetuai GLC tersebut,” kata kenyataan itu.


POWR juga berkata, lantikan politik dalam GLC pernah diamalkan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, malangnya, ia diteruskan di bawah Perikatan Nasional.


Katanya, pentadbiran terdahulu sering kali berjanji melakukan perubahan terhadap budaya dan amalan ini, tetapi tiada yang menunaikan janji tersebut.


“Lebih ramai dan kerap amalan perlantikan ahli politik senior ke jawatan GLC yang menawarkan pendapatan lumayan diamalkan, lebih banyak jawatan kanan parti politik akan dilihat sebagai kaedah untuk menambah kekayaan ahli politik dan penyokong mereka.


“Justeru itu, lebih banyak wang yang akan dilaburkan untuk pemilihan parti serta politik wang dalam bentuk yang lain,” kata kenyataan itu lagi.


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan kesemua ahli parlimen kerajaan akan dilantik mengetuai GLC.