Expired : 18.06.18

PPBM sahaja berhak tentukan menteri pendidikan baharu, kata Khalid

Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lalu. — Foto oleh Choo Choy May
Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lalu. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu terpulang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana jawatan itu merupakan kuota parti itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Jawatan menteri sedikit sebanyak ditentukan berdasarkan kuota parti dan ia terpulang kepada parti Bersatu bagi melantik calon sesuai, kata Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (PPBM).




 “Dalam kes Maszlee (Maszlee Malik), ia adalah kuota Bersatu dan merupakan hak Bersatu untuk menukarkannya...jadi ia terpulang kepada Bersatu nak lantik siapa, tapi kita hormat hak Bersatu untuk gantikan (Maszlee),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu 2020 dan Penghargaan kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Pada 2 Januari lepas, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari selepas mendapat nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.



Beliau memegang portfolio itu selama 20 bulan sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke 14.



Pejabat Perdana Menteri semalam dalam satu kenyataan berkata Dr Mahathir akan memangku sementara jawatan itu seperti yang diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas (8 Januari) sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik.


Khalid dalam pada itu berkata beliau yakin tempoh pemangkuan jawatan oleh Dr Mahathir tidak lama dan terpulang kepada Bersatu dan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu membuat keputusan.


Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung penyediaan kawasan khas merokok di tempat awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Usaha KPKT itu menunjukkan wujudnya kerjasama antara kementerian itu dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan hakikat hak perokok tetap diambilkira walaupun tabiat merokok menggugat kesihatan.


Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin pada 7 Januari lepas berkata PBT yang ingin membina kawasan khas merokok di tempat-tempat awam dalam kawasan masing-masing boleh membuat permohonan peruntukan daripada kementeriannya.


Bermula 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.


Namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak tiga meter di luar restoran terbabit.


Pada 1 Januari tahun ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350.


Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Khalid berkata pelbagai masalah yang dihadapi peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur telah lama wujud dan dengan adanya badan bertindak, ia akan menjadi pendekatan holistik bagi menentukan keadaan di pasar borong itu lebih terkawal. — Bernama