Expired : 18.06.18

PRK Cameron Highlands: Berjasa tak letak calon


BANGI, 3 Jamadilawal 1440H, Rabu – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) mengumumkan tidak akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, yang akan diadakan pada 26 Januari ini.


Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan dalam satu kenyataan hari ini berkata, setelah mengambil kira pelbagai faktor, Jawatankuasa Pusat parti itu membuat keputusan untuk tidak bertanding di PRK berkenaan.


“Berjasa secara rasminya tidak akan bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) bagi P078 Cameron Highlands yang bakal berlangsung. Keputusan ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat Berjasa setelah mengambil kira pelbagai faktor untuk PRK kali ini,” katanya.


Katanya, Berjasa mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi yang sentiasa komited menyokong perjuangan parti itu, sepanjang keterlibatan mereka di Parlimen Cameron Highlands.


“Berjasa akan komited memperjuangkan agenda Melayu dan Islam serta memartabatkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Berjasa sinonim dengan Parlimen Cameron Highlands, apabila pada PRU13 dan PRU14, parti itu meletakkan calon untuk bertanding di sana.


PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandangnya, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya 9 Mei lalu, selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.


Pada PRU14, Sivarraajh menang di Parlimen berkenaan, membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.


Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran; calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud; calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim dan calon PSM, B Suresh Kumar.


The post PRK Cameron Highlands: Berjasa tak letak calon appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop