Expired : 18.06.18

PRK Kimanis Bukti Kuasa Rakyat

KIMANIS, 19 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tidak ada sesiapapun yang boleh menafikan kuasa rakyat dan itulah yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.


Jelas beliau, ini membuktikan rakyat sudah muak dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.



“Jika dilihat keputusan PRK Kimanis, ia jauh lebih baik berbanding PRU-14 lalu yang mana pada waktu itu BN hanya menang dengan majoriti 156 undi. Pada PRK kali ini, BN menang dengan majoriti yang lebih selesa apabila memperoleh 2,029 undi.


“Undi BN dilihat meningkat manakala Warisan menurun. Apakah maksud daripada keputusan itu?


“Tentunya ia isyarat jelas rakyat di Sabah khususnya Kimanis semakin muak dan tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan Pusat pimpinan PH dan pimpinan Warisan di peringkat Negeri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.


Tambah Sharkar, isyarat rakyat ketika ini termasuk di Kimanis sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai.


“Apakah isyaratnya? Isyaratnya rakyat semakin terluka dan terkesan dengan kerajaan pusat pimpinan PH yang dilihat gagal menunaikan janji manifesto dan menjaga hak dan kepentingan rakyat.


“Begitu juga di Sabah apabila Warisan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu, tiada sebarang usaha dilakukan Warisan dan PH untuk pembangunan negeri dan rakyat di Sabah.


“Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Warisan di Sabah adalah membenarkan orang asing tinggal di Sabah menerusi pemberian PSS,” ujar beliau lagi.


Kemenangan di Kimanis juga jelas sharkar membuktikan rakyat Sabah menolak PSS kerana bagi mereka Sabah hanya untuk orang Sabah bukan untuk warga asing.


“Itulah kuasa rakyat yang sebenarnya dan tiada siapa pun yang boleh menafikannya. Biarpun ramai pihak melihat Warisan memiliki peluang cerah menang di Kimanis kerana parti itu berkuasa di Sabah namun rakyat Sabah khususnya di Kimanis membuktikan itu bukan kayu pengukur.


“Tahniah kepada BN kerana terus dipilih oleh rakyat di Kimanis. Tahniah juga kepada seluruh jentera BN termasuk parti komponen MCA dan MIC. Tahniah dan terima kasih juga kepada rakan PBS, PBRS, STAR dan PAS yang bersama BN pada PRK Kimanis kali ini.


“Terus perkukuhkan muafakat ini, berjuang dalam isu-isu membabitkan rakyat insya Allah muafakat ini akan menjadi pilihan rakyat pada PRU-15 nanti,” luah beliau. – UMNO ONLINE