Expired : 18.06.18

PRK Rantau: PH Terdesak Hingga Langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya

REMBAU, 11 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas parti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terdesak dalam kempen-kempennya sehingga melanggar peraturan pilihan raya.


Katanya, ini berbeza dengan BN di mana sepanjang berkempen, parti dan jentera berusaha sedaya upaya mematuhi apa jua peraturan yang ditetapkan.


Justeru itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pemantau-pemantau pilihan raya yang mereka lantik agar menjalankan tugas tanpa mengamalkan sikap pilih kasih.


“Kalau dalam Barisan Nasional saya dengar khabar rumah Johor yang sedang bermesyuarat jentera disuruh berhenti hanya kerana menggunakan pembesar suara.


“Tapi mengapa tidak dibuat cara yang sama kepada parti Pakatan Harapan, boleh dibuat itu dan ini, pemimpin Pakatan Harapan datang dengan jamuan. Itu salah. Berhentikanlah… menyalahi peraturan,” tegasnya dalam sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan Utama BN, di sini hari ini.


Tambah Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, beliau tidak mempertikaikan kuasa SPR dalam mendakwa di Mahkamah, tetapi sebagai badan pengendali dan penguatkuasa pilihan raya mereka mempunyai autoriti untuk memberhentikan aktiviti-aktiviti parti-parti yang menyalahi peraturan pilihan raya.


“Saya bukan kata sama ada SPR ada kuasa atau tidak untuk mendakwa, mendakwa adalah langkah selanjutnya tetapi SPR mempunyai pemantau yang dilantik mengikut zon masing-masing. Mengapa mereka tidak memberhentikan walapun mempunyai autoriti?


“Tapi sekurang-kurangnya SPR, pegawai-pegawai yang dilantik sebagai pemantau pilihan raya kecil ini mengambil tindakan untuk memberhentikan, terang-terang buat jamuan besar hingga panggil bintang filem.. itu patutnya dilarang dan ditegah, diberhentikan pada ketika itu, anda boleh memberhentikannya kerana anda ada kuasa,” katanya.


Mohamad turut memberikan contoh bagaimana pihak lawannya semalam cuba mengamalkan rasuah pilihan raya dengan pemberian duit raya tetapi dibatalkan setelah dibuat laporan polis.


“Saya minta supaya SPR mengambil tindakan segera terhadap laporan polis yang telah dilakukan. Semalam hampir-hampir sahaja dibuat di Sendayan untuk diberikan duit raya kepada pengundi-pengundi di Sendayan walaupun puasa belum lagi tapi duit raya ‘advance’ telah diberi, ‘very efficient’…


“Saya jangkakan ini sebagai satu rasuah pilihan raya apabila kita buat laporan polis maka dia batal tapi selain itu kita dapat tahu ada tukar minyak hitam, baiki motorsikal, cuci dan kilat kereta secara percuma dan macam-macam lagi,” ujarnya lagi.


Semalam, majlis penyerahan cek pendahuluan sempena perayaan Hari Raya Aidil Fitri 2019 di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan yang anjurkan oleh kerajaan Negeri Sembilan batal setelah laporan polis dibuat.


Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam Bahagian III Perbuatan Rasuah jelas menunjukkan perbuatan Penjamuan (Seksyen 8) dan Penyogokan (Seksyen 10) adalah perkara yang menyalahi undang-undang dalam kempen pilihan raya. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop