Expired : 18.06.18

PRK Tg Piai: SPR siap siaga hadapi kemungkinan musim bencana

PONTIAN, 8 Safar 1441H, Isnin – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, termasuk menghadapi bencana seperti banjir.


Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir yang juga Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, telah mengadakan mesyuarat pagi tadi yang membabitkan pelbagai agensi untuk melihat pelbagai perkara termasuk faktor cuaca.


“Selain kita menyediakan kemudahan mengundi di hari mengundi, kita juga ambil kira sekiranya berlaku keadaan tidak baik dan cuaca tidak baik.


“Mereka (agensi-agensi terbabit) sedang merancang tindakan seperti kerjasama (agensi) yang mengawas banjir seperti keselamatan dan sebagainya dan perkara itu (seperti banjir), sudah dalam perhatian SPR,” kata beliau selepas melawat SJK (C) Pei Chiao, dekat Kukup, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya sedia maklum bahawa bulan November adalah musim hujan di negeri ini.


Sekolah itu adalah salah satu daripada 28 pusat mengundi membabitkan 27 sekolah yang digunakan semasa PRK dan sebuah dewan serbaguna, di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk pengundian awal.


Sementara itu, Mohamed Elias turut memberi jaminan bahawa perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terganggu berikutan PRK itu.


Beliau berkata, dari 27 sekolah, hanya tiga sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang akan terbabit sebagai pusat mengundi iaitu SMK Dato Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nenas and SMK Sri Kukup.


Selain itu, beliau berkata, tiada peperiksaan berlangsung di mana-mana tarikh yang dipilih iaitu pada hari penamaan calon pada 2 November dan hari pengundian iaitu 16 November, yang jatuh pada hari Sabtu.


Beliau berkata, keperluan dan keselesaan pengundi terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga diberi tumpuan melalui penambahbaikan infrastruktur pusat mengundi.


Terdapat 977 pengundi OKU daripada lebih 52,000 pengundi pada PRK Tanjung Piai. -Bernama


The post PRK Tg Piai: SPR siap siaga hadapi kemungkinan musim bencana appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop