v PSNP tak minat guna awang import
Expired : 18.06.18

PSNP tak minat guna awang import

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pemain import untuk memperkuatkan skuad Pahang Mammoth pada saingan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) musim ini.

Pengurus pasukannya Ahmad Fitri Ali berkata, pihaknya kini masih lagi yakin dengan kemampuan barisan pemain tempatan untuk membawa cabaran pasukan yang akan

beraksi dalam Divisyen Premier.

Menurutnya, walaupun terpaksa berhadapan dengan sembilan pasukan negeri dan kelab yang bertaraf bintang namun itu tidak terlalu membimbangkan untuk Pahang Mammoth memberi tentangan.

“Musim ini kita membariskan tiga pemain lama dan tiga muka baru yang diharap dapat memberi cabaran pada setiap lawan, dengan semangat dan kesungguhan tinggi tidak mustahil kejayaan mampu berpihak kepada pasukan.

“Selepas berjaya meninggalkan Divisen Satu, kita berharap langkah pertama dalam Divisyen Premier musim ini berakhir dengan pencapaian yang diharapkan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini persatuan merancang untuk memulakan latihan pusat bulan depan namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak Covid-19, tarikh baru akan diputuskan selepas diadakan mesyuarat.

Ahmad Fitri berkata, dia sudah mengingatkan kepada pemain supaya sentiasa bersedia selain turut mengadakan latihan ringan di rumah masing-masing, keputusan kerajaan melanjutkan PKP hingga 14 April menyebabkan sesi latihan menjadi bertambah singkat.

“Pasukan Pahang Mammoth mendapat bimbingan jurulatih Mohd Hirman Omar yang berpengalaman luas diperingkat kebangsaan terutama apabila mencetuskan kejayaan pada pasukan musim lalu.

“Saya sentiasa mengadakan perbincangan dengan dia (Mohd Hirman) membabitkan barisan pemain dan latihan," katanya yang berharap Pahang Mammoth mampu memberi saingan pada semua pencabar musim ini.