Expired : 18.06.18

PTPTN: Sekatan ke luar negara bukti janji PRU14 bersifat politik


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Pertimbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara, membuktikan keputusan yang dibuat sebelum ini adalah bersifat politik dan tergesa-gesa.

Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Pemuda Isma), Eqwan Roslan berkata, parti-parti politik sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menawarkan manifesto kepada rakyat.

Sebarang janji tidak seharusnya dibuat untuk memenangi segmen pengundi tertentu semata-mata, tanpa mengira implikasi kepada negara atau dibuat dalam keadaan tiada data yang mencukupi, katanya.

“Rakyat pula seharusnya bersifat bertanggungjawab dalam menilai tawaran parti politik yang seimbang antara keperluan individu dan kemampuan negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Eqwan berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang tindakan daripada PTPTN supaya terus dapat menawarkan pinjaman untuk jangka panjang kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau turut menuntut ahli-ahli politik yang menawarkan manifesto tidak bertanggungjawab supaya membuat permohonan maaf serta mendidik semula rakyat dengan nilai-nilai yang betul.

Semalam, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman, termasuk meneliti beberapa cadangan lain antaranya sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan.

Bagaimanapun, hari ini Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengakui cadangan berkenaan diperoleh daripada konsultasi awam yang diadakan oleh PTPTN.

“Saya lihat apa yang PTPTN kemukakan ialah konsultasi awam. Mereka inginkan pandangan awam terhadap beberapa perkara. Mereka ingin cadangan daripada konsultasi awam itu.

“Itu bukan cadangan mereka, cuma apabila wartawan tanya dia (Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan) jawab macam itu. Pada saya, PTPTN perlu memberikan penjelasan kepada media supaya tidak berlaku silap faham seperti itu,” kata Maszlee.

Menghapuskan dasar menyenarai hitam peminjam PTPTN yang tidak membayar hutang adalah antara manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pada 26 Jun, Wan Saiful mengumumkan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar ditarik balik, membabitkan 429,945 peminjam yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Dalam manifesto parti itu, PH turut berjanji menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang memperoleh gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.


The post PTPTN: Sekatan ke luar negara bukti janji PRU14 bersifat politik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop