Expired : 18.06.18

Pulau Pinang hadkan waktu operasi premis perniagaan


GEORGE TOWN, 29 Rejab 1441H, Selasa – Kerajaan Pulau Pinang akan mengehadkan waktu operasi semua premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 6 pagi hingga 8 malam di seluruh negeri ini, bermula esok.







Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, tempoh masa itu diputuskan mengikut kesesuaian rutin operasi premis di negeri ini.


“Saya faham bahawa kehidupan kita amat terkesan sepanjang tempoh ini. Saya memohon kesabaran anda semua. Kita akan mengharungi krisis ini bersama-sama. Saya berjanji, kerajaan negeri akan memberikan bantuan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang… kita susah sama-sama, kita senang sama-sama,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya,


Terdahulu, Chow mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang PKP menangani wabak COVID-19, yang turut dihadiri agensi Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.


Beliau berkat,a berdasarkan maklumat yang diterima dari pihak polis, pematuhan PKP di negeri ini telah mencecah 90 peratus.


Bagaimanapun, menurutnya terdapat beberapa kawasan yang masih menimbulkan masalah seperti pasar-pasar awam yang masih tidak mematuhi penjarakan sosial, namun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai kaedah untuk menambah baik keadaan di pasar awam.


“Kita memerlukan kerjasama daripada orang awam supaya penjarakan sosial di pasar awam ini dapat dipatuhi agar kita mencapai kadar pematuhan yang lebih tinggi dengan sasaran kita adalah 100 peratus pematuhan,” katanya.


Sementara itu, Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, jumlah kes positif COVID-19 yang direkodkan di Pulau Pinang setakat 12 tengah hari semalam adalah sebanyak 66 kes, dengan daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 22 kes.


Sebanyak 19 kes dilaporkan di daerah Timur Laut, Barat Daya (7) Seberang Perai Utara (9) dan Seberang Perai Selatan (9).


“Pertambahan kes yang tidak menyenangkan dan perlu diberikan perhatian serius. Justeru, saya terus menyeru agar rakyat Pulau Pinang terus komited dan berkorban demi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kini,” katanya. -Bernama





The post Pulau Pinang hadkan waktu operasi premis perniagaan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.