Expired : 18.06.18

Pusat setuju teruskan lapan projek di Terengganu: MB


KUALA NERUS, 1 Jamadilawal 1440H, Isnin – Kerajaan Pusat bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan lapan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM577 juta.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek di negeri ini bertepatan dengan ucapan pembentangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Tonggak ke-tiga dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).


“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Dr Mahathir di atas persetujuan meneruskan projek itu sekali gus membuktikan langkah mengamalkan budaya politik matang dan berhubungan baik membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat,” katanya seperti dilapor media tempatan.


Dalam pada itu, Samsuri berkata, lapan projek akan diteruskan pada tahun ini adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kemasik, Kemaman membabitkan peruntukan sebanyak RM60 juta; RTB Guntung Luar, Setiu (RM5 juta); RTB Gong Kiat, Kuala Terengganu (RM7 juta); RTB Kuala Terengganu Utara, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kawasan sekitarnya (RM10 juta).


“Selain itu, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman (RM300 juta), projek Muara Sungai Setiu (RM150 juta), projek Muara Sungai Merchang (RM43 juta) dan projek naik taraf pintu air Taman Rakyat, Dungun (RM1.5 juta),” katanya.


Terdahulu, ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bertemakan, ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang.


Oleh itu, katanya, kerajaan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan.


“Selaras dengan itu, kerajaan akan memastikan peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis supaya mencapai pembangunan yang lebih setara,” katanya.



The post Pusat setuju teruskan lapan projek di Terengganu: MB appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop