Expired : 18.06.18

Pusat tak boleh campuri urusan agama Islam negeri


Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI, 4 Muharram 1440H, Jumaat – Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam di negeri, kecuali mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.


Menegaskan bahawa perkara itu terdapat dalam undang-undang, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan meletakkan sempadan antara kuasa negeri dan Persekutuan, yang mana Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k), Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri.


“Dalam hal yang demikian, kuasa kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan perlu menghormati kedudukan ini.


“Jika kedua-dua badan mencampuri urusan badan yang lain ia akan memberi kesan hilang identitinya, malah ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala,” katanya hari ini.


Dua hari lalu, Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan moratorium terhadap hukuman sebatan syariah, kerana menganggapnya bakal menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).


JAG juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mengesa hukuman sebat dan bentuk lain yang mendera dihentikan atas semua kesalahan.


Pada masa sama, ahli Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Honey Tan, mendesak supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda atau dimansuhkan, kerana katanya, jika Parlimen boleh meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah maka Parlimen juga boleh mengurangkannya.


Dia juga berkata, Empower mendesak Peguam Negara mengkaji semula semua Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri bagi memastikan bahawa ia berperlembagaan.


Menulis dalam Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, sudah tiba masanya hal ehwal Islam diletakkan terus di bawah naungan Majlis Raja-Raja dan dibebaskan daripada pengaruh politik.


“Sudah tiba masanya institusi Islam ini diletakkan terus di bawah Majlis Raja-Raja bagi mengelakkan campur tangan politik dalam hal agama.


“Sudah sampai masanya Islam dibebaskan dari kongkongan politik dan diletakkan di tempat yang tinggi. Sudah sampai masanya juga Islam diamalkan bukan dalam aspek-aspek tertentu sahaja tetapi mencakupi satu cara hidup yang syumul,” katanya.


The post Pusat tak boleh campuri urusan agama Islam negeri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop