Expired : 18.06.18

Putera Mahkota Arab Saudi akan diganti?: Laporan eksklusif



BANGI, 22 Safar 1440H, Rabu – Putera Ahmed bin Abdulaziz Al-Saud, adik kepada, Raja Salman, dipercayai sudah pulang ke Arab Saudi – selepas tidak lagi kelihatan di London sejak kebelakangan ini – untuk berdepan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, atau mencari individu yang boleh berbuat demikian.


Putera berusia 76 tahun itu yang sering mengkritik Putera Mahkota Mohammed yang lebih dikenali sebagai MBS, dilaporkan pulang dengan jaminan keselamatan daripada pegawai Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).


“Beliau dan ahli keluarga diraja lain menyedari MBS adalah toksik. Putera Ahmed mahu melakukan perubahan, yang bermakna sama ada beliau akan memainkan peranan besar dalam sebarang perjanjian baharu atau membantu memilih individu lain menggantikan MBS.


“Beliau kembali ke Arab Saudi selepas berbincang dengan pegawai AS dan UK, yang memberi jaminan keselamatan kepadanya, selain memastikan beliau tidak diapa-apakan serta mendorong beliau memainkan peranan ‘merampas kuasa’,” kata sumber yang rapat dengan Putera Ahmed kepada MEE.


Selain mendapat jaminan Barat, beliau juga dilindungi berdasarkan kedudukan dan pangkatnya dalam keluarga diraja Arab Saudi.


November tahun lalu, MBS melancarkan operasi besar-besaran menangkap individu, termasuk kerabat diraja yang tidak sependapat dengannya, dan boleh mengancam kedudukannya sebagai Putera Mahkota, dengan alasan memerangi rasuah.


Bagaimanapun, beliau langsung tidak boleh menyentuh anak-anak Almarhum Raja Abdulaziz Al-Saud, pengasas Arab Saudi, kerana kedudukan mereka terlalu tinggi dalam hirarki keluarga diraja.


MBS berusia 33, mendapat perhatian berikutan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2 Oktober lalu di dalam pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, yang membawa kepada spekulasi bahawa pewaris takhta Arab Saudi itu mungkin diganti.


MEE dalam laporan eksklusifnya mendakwa Putera Ahmed mengadakan mesyuarat dengan beberapa anggota keluarga diraja Arab Saudi yang sekarang ini tinggal di luar negara.


Putera Ahmed juga dilaporkan berunding dengan tokoh dalaman negara itu, yang turut mengambil berat, dan mendorong beliau untuk ‘merebut’ kuasa daripada anak saudaranya.


Laporan juga menyebut terdapat tiga putera diraja yang lebih kanan menyokong langkah Putera Ahmed. Semuanya yang tidak dinamakan kerana alasan keselamatan, bagaimananpun dikatakan memegang jawatan kanan dalam angkatan tentera dan pasukan keselamatan Arab Saudi.


Sementara itu menulis dalam New York Times (The Times), bekas penasihat keselamatan kepada pentadbiran Barrac Obama dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata:


“Melihat ke hadapan, Washington perlu bertindak untuk mengurangi risiko terhadap kepentingan AS sendiri. Kita tidak harus merosakkan hubungan penting dengan Riyadh, tetapi kita mesti jelaskan bahawa urusan tidak boleh lagi berjalan seperti biasa selagi Putera Mohammed terus menggunakan kuasa tanpa had.”


Katanya, ia sepatutnya menjadi polisi AS bersama sekutunya untuk meningkatkan tekanan ke atas keluarga diraja Arab Saudi bagi mencari pengganti putera mahkota yang lebih mantap.


Kepulangan Putera Ahmed meningkatkan lagi tekanan terhadap MBS, individu yang dikatakan berada di tengah-tengah kebuntuan Turki dan Arab Saudi dalam menyelesaikan kes pembunuhan Khashoggi.


Pihak berkuasa Turki sebelum ini mendesak Riyadh memberitahu di mana mayat Khashoggi, sementara Arab Saudi pula menggesa Ankara menyerahkan rakaman audio mengenai pembunuhan itu – maklumat yang didedahkan kepada media.


Dalam ‘serangan lembut’ terhadap MBS, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam, menuduh Arab Saudi melindungi individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.


“Permainan untuk menyelamatkan seseorang terletak di bawah ini (pembunuhan Khashoggi),” kata Erdogan kepada wartawan selepas ucapan di Parlimen yang antara lain beliau berkata, Ankara tidak akan mengetepikan kes itu.


Pendakwa Raya Arab Saudi, Saud al-Mujeb meninggalkan konsulat Arab Saudi di Istanbul, semalam.

Sementara itu, Pendakwa Raya Arab Saudi, Saud al-Mujeb, dua kali bertemu Pendakwa Raya Turki, Irfan Fidan dalam tempoh dua hari lalu.


Riyadh bagaimanapun, masih enggan membenarkan penyiasat Turki memeriksa perigi di kawasan kediaman konsul besarnya, yang terletak kira-kira 500 meter dari pejabat konsulat di Istanbul.


Selepas menafikan Khashoggi dibunuh dalam pejabat konsulatnya di Istanbul, Riyadh mengesahkan menahan 18 suspek, termasuk 15 anggota pasukan perisik yang dihantar untuk melakukan pembunuhan itu.


MBS berulang kali menafikan mengetahui mengenai operasi itu, yang turut disertai lima anggota pasukan keselamatannya, termasuk tiga yang sentiasa mengikutinya ketika melawat London, Washington dan Paris.


Isnin lalu, Mujeb menawarkan testimoni suspek yang ditangkap, walaupun Ankara mendesak mereka diekstradisi, bagi membolehkan mereka dibicara di mahkamah Turki, tetapi ditolak oleh Arab Saudi.


Sebelum kes pembunuhan Khashoggi berlaku, penentangan Putera Ahmed terhadap anak saudaranya itu bukan asing lagi. Beliau pernah mencabar MBS dalam tiga keadaan.


Pertama pada musim panas tahun lalu, ketika beliau menjadi salah seorang anggota majlis memilih pengganti raja, dan menentang pengangkatan MBS sebagai putera mahkota.


Putera Ahmed enggan memberi sumpah setianya kepada MBS apabila dilantik sebagai pengganti Raja Salman.


Kedua ialah apabila abang Putera Ahmed dan Raja Salman, Abdelrahman bin Abdulaziz Al-Saud meninggal dunia tahun lalu. Hanya dua gambar digantung pada majlis oleh Putera Ahmed iaitu gambar Raja Abdulaziz dan Raja Salman. Tiada gambar putera mahkota diletakkan.


Ketiga, yang berlaku bulan lalu, apabila Putera Ahmed dihampiri sekumpulan penunjuk perasaan dari Yaman dan Bahrain di luar rumahnya di London, sambil melaungkan Al-Saud adalah keluarga penjenayah.


Beliau kemudian memberitahu mereka bahawa tidak semua keluarga diraja bertanggungjawab terhadap perang ke atas Yaman, sebaliknya hanya Raja Salman dan putera mahkota sahaja.


“Mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah di Yaman. Beritahu Mohammed bin Salman supaya menghentikan perang itu,” kata Putera Ahmed berdasarkan rakaman video dan audio ketika dihampiri penunjuk perasaan itu.


Putera Ahmed dikatakan mendapat sokongan tokoh penting dalam keluarga diraja yang percaya selepas kes pembunuhan Khashoggi, nama MBS kini tercemar di kalangan negara-negara Barat, selain menyebabkan keseluruhan nama keluarga diraja Arab Saudi menjadi buruk.


Putera Khaled bin Farhan

Putera Khaled bin Farhan, yang tinggal di Jerman, sebelum ini berkata, Putera Ahmed dan Putera Muqrin bin Abdulaziz Al-Saud adalah individu yang boleh memulihkan semula reputasi keluarga diraja Arab Saudi, disebabkan peraturan yang tidak rasional, tidak menentu dan bodoh oleh Raja Salman.


“Terdapat kemarahan yang meningkat di kalangan kerabat diraja. Saya meminta pak cik saya Putera Ahmed dan Putera Muqrin, yang juga anak Raja Abdulaziz, yang berpendidikan tinggi, mahir dan mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Saya boleh katakan bahawa kami semua menyokong mereka,” katanya.


Bagaimanapun, sesetengah keluarga diraja yang berada dalam buangan di London dan Istanbul berpendapat Putera Ahmed terlalu lemah untuk melakukan perubahan di Arab Saudi.


Sesetengah yang lain pula berkata, beliau mempunyai agenda peribadi selepas tidak dipilih sebagai putera mahkota.


Tetapi, pemerhati melihat sama ada campur tangan beliau akan mengulangi peristiwa Raja Faisal yang menggulingkan abangnya Raja Saud pada 1964, berulang atau tidak. – Agensi


The post Putera Mahkota Arab Saudi akan diganti?: Laporan eksklusif appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop