Expired : 18.06.18

Qualcomm Menjangkakan 200 Juta Peranti Dengan Sokongan 5G Akan Dijual Pada Tahun 2020

Syarikat semikonduktor Qualcomm yang dikenali ramai untuk cip pemprosesan peranti pintar mereka baru-baru ini dikatakan menjangka bahawa sebanyak 200 juta peranti pintar dengan sokongan 5G akan dijual pada tahun 2020.


Sokongan rangkaian 5G dijangka akan meningkat dengan mendadak bermula tahun hadapan, dan menurut jangkaan Qualcomm, akan terdapat dua waktu penting dimana peranti-peranti 5G akan dipasarkan secara besar-besaran.


Pertama ialah suku pertama tahun hadapan, dimana syarikat-syarikat pembuat peranti pintar dari Asia seperti Samsung dan Huawei akan memperkenalkan peranti-peranti baru mereka. Ia dilihat bahawa jenama-jenama lain akan “meniru” ciri-ciri dan sokongan yang akan tiba pada kedua-dua peranti ini sepanjang tahun hadapan.


Waktu kedua pula ialah pada suku ketiga tahun hadapan, apabila Apple dan Google melancarkan peranti pintar iPhone dan Pixel mereka. Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Apple akan melancarkan iPhone pada tahun hadapan dengan sokongan 5G, akan tetapi untuk Google Pixel, masih tidak banyak butiran yang diketahui mengenai peranti tersebut.


Menurut presiden Moor Insights, Patrick Moorhead, jangkaan Qualcomm ini mempunyai meritnya sendiri kerana syarikat tersebut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan jenama-jenama peranti ini, dan kebanyakan daripadanya akan menggunakan cip-cip modem 5G buatan Qualcomm untuk peranti-peranti mercu mereka pada tahun hadapan.


Penjualan 200 juta peranti 5G sepanjang tahun 2020 boleh dikatakan satu jumlah yang sangat banyak, dan pada firasat kami sendiri, ada kemungkinan besar bahawa peranti kelas pertengahan juga akan menerima sokongan untuk rangkaian tersebut.


Norlida Ishak Shop