Expired : 18.06.18

Rabies: Kes digigit anjing di Sarawak masih tinggi

BANGI, 10 Safar 1441h, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi dengan purata 40 ke 60 kes sehari, pada kadar hampir sama seperti tahun pertama wabak rabies di Sarawak.


Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun ini terdapat lima kes disahkan rabies dalam kalangan manusia yang mana kes terakhir pada 21 Ogos lalu membabitkan seorang lelaki dari sebuah rumah panjang di Mukah.


Katanya, lelaki berusia 64 tahun itu meninggal dunia pada 19 Ogos lalu ketika dalam pemerhatian rapi pakar perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu, setelah digigit anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit.


“Tahun ini juga, sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies. Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 (32.8 peratus) sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies,” kata beliau.


Noor Hisham berkata, sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Oktober 2019, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang.


Katanya, lima kes daripada 21 kes rabies terbabit memberi sejarah digigit oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.


Beliau berkata, semua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup dan kini berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies.


“Kejadian semua kes rabies boleh dielakkan sekiranya luka gigitan segera dicuci dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan. Selanjutnya hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.


“Gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir semua kes rabies yang dilaporkan. Jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut. Pastikan haiwan peliharaan mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi dari jangkitan rabies,” katanya.


Noor Hisham berkata, hampir keseluruhan negeri Sarawak ada melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies kecuali Limbang yang masih bebas rabies.


Justeru, beliau mengingatkan setiap pemilik bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat imunisasi rabies serta elakkan haiwan peliharaan berkeliaran di luar rumah atau bercampur dengan anjing atau haiwan liar.


“KKM ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” kata beliau.


The post Rabies: Kes digigit anjing di Sarawak masih tinggi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop