Expired : 18.06.18

Rabies ragut satu lagi nyawa


KUCHING, 9 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Seorang lelaki berusia 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching yang disahkan menjadi mangsa terbaharu wabak rabies di Sarawak, meninggal dunia, kata Kementerian Kesihatan (KKM).


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu, dan disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal yang dibuat Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.


Beliau berkata, mangsa mempunyai sejarah digigit anak anjing peliharaannya di bahagian belakang tapak tangan kanan pada 15 Jun lalu, ketika sedang menangkap haiwan berkenaan yang merayau di luar kawasan rumah.


“Pada hari yang sama juga anak perempuan beliau yang berumur lapan tahun telah digigit oleh anjing tersebut. Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada penghujung bulan Mei 2019 lalu dengan status pelalian rabies anjing tersebut tidak diketahui.


“Pada hari kejadian, kedua-dua beranak ini telah mencuci luka tersebut selama 15 minit. Kes telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan pada 17 Jun 2019 dan telah dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, sepanjang mangsa membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan bagi melengkapkan pemberian vaksin, dia tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana kakitangan kesihatan bahawa turut digigit anjing.


“Pada 29 Julai 2019, kes mula mengalami demam, sakit kepala dan rasa lenguh di bahu kanannya. Dia telah mendapatkan rawatan di dua buah Klinik Kesihatan berbeza pada 31 Julai 2019 dan 2 Ogos 2019 tetapi tidak juga memaklumkan sejarah digigit anjing. 


“Pada 3 Ogos 2019, kes telah mendapatkan rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumkan bahawa beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing,” katanya.


Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit HUS dan mula menunjukkan sikap agresif, hydrophobia, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan, kata Dr Noor Hisham.


“Keadaan kes bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi.  Buat masa ini anak perempuan yang telah digigit oleh anjing yang sama berada dalam keadaan sihat dan dalam pemantauan pihak kesihatan,” katanya.


Beliau berkata, mangsa terbaharu itu menjadikan 20 kes, termasuk 19 kematian disahkan rabies di Sarawak sejak pengisytiharan wabak berkenaan pada 1 Julai 2017.


“KKM ingin sekali lagi memberi penekanan kepada orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala,” katanya.


The post Rabies ragut satu lagi nyawa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop