Expired : 18.06.18

Rafizi cabar Mohamad Hasan berterus terang

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mencabar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk berterus terang kepada rakyat berkenaan isu pemindahan RM 10 juta dalam pembelian pangsapuri di London.


Katanya, Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ tidak perlu menyembunyikan pemindahan wang tersebut melalui pengurup wang tindakan itu tidak melanggar undang-undang.


“Kalau dia kaya, kenapa dia (Mohamad) sembunyi (pemindahan wang) dan menggunakan saluran yang tidak sah.


“Hakikatnya, Tok Mat memindahkan wang RM10 juta secara sembunyi menggunakan pengurup wang sehingga melanggar lesen operasi pengurup wang. Pengurup wang dilesenkan untuk menukar matawang asing kepada ringgit (atau sebaliknya), bukannya untuk memindahkan wang keluar negara.


“Pemindahan wang keluar negara melibatkan pelbagai peraturan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia,” katanya sewaktu berucap pada program ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, malam tadi.


Menurut Rafizi hanya ada dua kemungkinan yang menyebabkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berbuat sedemikian – sama ada wang yang ingin dipindahkan melebihi had dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau wang itu bukan miliknya.


“Semasa pindahan wang RM10 juta itu berlaku sekitar tahun 2007 hingga 2008, peraturan pemindahan wang keluar negara seperti yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2007 BNM, ialah rakyat Malaysia yang tiada hutang dalam negara, tidak akan ada halangan untuk memindahkan wang membeli harta di luar negara tanpa had.


“Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai hutang dalam negara dan menukar ringgit ke mata wang asing untuk membeli harta di luar negara, had pemindahan dan pembelian adalah sebanyak RM1 juta setiap tahun.


“Ataupun wang itu bukan dari sumber beliau sendiri. 


“Jika dipindahkan mengikut saluran biasa yang tidak melanggar undang-undang, beliau perlu mengisytiharkan juga sumber dari mana wang RM10 juta itu datang,” katanya.


Sebelum ini, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar membangkit kembali skandal rasuah RM10 juta melibatkan calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan lebih sedekad lalu.


Beliau yang juga pengerusi Amanah Negeri Sembilan mempersoalkan sebab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum bertindak terhadap Mohamad yang didakwa terlibat dalam pemindahan duit melalui pengurup wang.


PRK Rantau yang jatuh pada 13 April ini menyaksikan Mohamad menentang calon Pakatan Harapan, Dr Streram Sinnasamy.


Dua orang calon bebas turut mencuba nasib mereka dalam PRK ini.


Norlida Ishak Shop