Expired : 18.06.18

Rafizi hadiahkan wang saman NFC kepada pelajar

Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berhasrat menghadiahkan pemulangan wang bayaran kes saman fitnah yang telah dibayarnya pada 2017 kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusinya berjumlah RM300,000 sebagai biasiswa pelajar.


Hal ini susulan Mahkamah Rayuan pagi tadi yang membenarkan permohonan Rafizi berhubung perintah yang dikeluarkan mahkamah tinggi terdahulu supaya beliau membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada NFC dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail dan kos RM50,000 setiap satu kepada kedua-duanya.


“Saya baru dimaklumkan oleh peguam mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi yang membenarkan rayuan saya dalam kes saman berhubung NFC.


“Saya juga sedia maklum bahawa Yang Arif Hakim-Hakim telah mengarahkan Salleh Ismail sebagai plaintif memulangkan kembali sejumlah RM300,000 yang telah saya bayar kepada beliau sebelum ini, di samping membayar RM110,000 lagi sebagai kos guaman.


“Saya pasti plaintif (NFC, Salleh) akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan dan jumlah yang diarahkan tidak perlu dibayar sehingga selepas selesai kes di Mahkamah Persekutuan.


“Jika ada pembayaran, jumlah tersebut akan disimpan oleh peguam di dalam akaun amanah sehingga kes ini selesai di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.


“Semua bayaran selain kos guaman yang diarahkan oleh mahkamah akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk hadiah pendidikan kepada pelajar cemerlang universiti dari berpendapatan rendah (sebanyak RM5,000 seorang) dan pelajar cemerlang Tingkatan 5 dari berpendapatan rendah (sebanyak RM500 seorang).


“Pemenang hadiah pendidikan akan dipilih dari kalangan seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa yang cemerlang dalam bidang masing-masing walaupun datang dari keluarga berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Rafizi, sekiranya NFC merayu di Mahkamah Persekutuan dan keputusan mahkamah hari ini masih kekal maka jumlah wang saman yang telah dibayar itu akan dipulangkan kembali kepada sumbernya, orang ramai.


“Sekiranya saya kekal menang di peringkat Mahkamah Persekutuan, saya tidak akan mengambil satu sen pun dari apa jua jumlah yang dianugerahkan oleh mahkamah akibat kes NFC ini.


“Jumlah RM300,000 yang dibayar kepada Salleh Ismail adalah hasil sumbangan biaya orang ramai (“crowdfunding”) dalam bulan Julai 2017,” katanya.


Rafizi sebelum ini membuat rayuan berhubung perintah membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada NFC dan Salleh dan kos RM50,000 setiap satu kepada kedua-duanya.


Norlida Ishak Shop