Expired : 18.06.18

Rama-Rama & Keunikannya

Oleh : Intan Fazria Ridwan & Dr. Chong Ju Lian
Pusat Pengajian Sains Marin & Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu


Tahukah anda bahawa kupu-kupu dan rama-rama adalah dua spesis serangga terbang yang berbeza? Kebanyakan orang menganggap kedua-dua spesis ini sama disebabkan oleh ciri-ciri fizikalnya. Selain itu, ramai juga keliru dan beranggapan bahawa ‘moth’ adalah kupu-kupu dan ‘butterfly’ adalah rama-rama. Hal ini tidak benar kerana ‘moth’ ialah rama-rama manakala ‘butterfly’ ialah kupu-kupu. Kedua-dua spesis memang berasal daripada order yang sama iaitu order Lepidoptera, tetapi masing-masing mempunyai beberapa perbezaan yang ketara.


Rama-rama dikenali sebagai spesis serangga nokturnal di mana ia aktif pada waktu malam dan berehat pada waktu siang, manakala kupu-kupu pula adalah spesis serangga ‘diurnal’ yang aktif pada waktu siang dan berehat pada waktu malam. Disebabkan rama-rama bergerak aktif pada waktu malam dan tertarik kepada cahaya lampu, kebiasaannya warna fizikal rama-rama lebih pudar dan kurang menarik. Manakala, kupu-kupu yang aktif pada waktu siang mempunyai warna yang lebih terang dan berwarna-warni. Ini dapat dilihat pada gambar di bawah di mana Opodiphthera helena ialah spesis rama- rama manakala Limenitis archippus ialah spesis kupu-kupu.


Gambar Rama-Rama & Kupu-Kupu

Berdasarkan gambar tersebut, perbezaan yang paling ketara antara rama-rama dan kupu-kupu dapat dilihat pada sesungutnya di mana sesungut rama-rama lebih berbulu. Sebaliknya, sesungut kupu-kupu berbentuk filamen langsing dan hujung sesungut yang mempunyai bentuk belantan. Di samping itu juga, perbezaan antara mereka dapat dilihat pada keadaan sayapnya ketika berehat. Sayap rama-rama direntangkan terbuka ketika berehat, manakala sayap kupu-kupu akan terlipat tegak di atas badan.


Rama-rama dikenali sebagai salah satu kumpulan yang mempunyai kepelbagaian yang tinggi terutama di hutan hujan tropika. Terdapat kira-kira 160000 spesis rama-rama di dunia. Secara amnya, terdapat dua jenis rama-rama yang digelar sebagai macrolepidoptera dan microlepidoptera. Macrolepidoptera adalah rama-rama dewasa yang mempunyai saiz fizikal yang besar yang melebihi 50mm, manakala microlepidoptera adalah rama-rama dewasa bersaiz fizikal kecil antara 5mm hingga 20mm.


Selain itu, rama-rama dibahagikan kepada beberapa keluarga berdasarkan ciri-ciri fizikal iaitu keluarga Arctiidae, Geometridae, Noctuidae, Saturniidae, dan Sphingidae. Keluarga Noctuidae terdiri daripada rama-rama paling besar di dunia, manakala keluarga Geometridae adalah yang kedua terbesar di dunia. Bagi keluarga Arctiidae pula, kebiasaannya dipanggil sebagai Rama-rama Harimau dan spesis di dalam keluarga ini mempunyai warna yang sangat terang seperti merah dan kuning. Keunikan bagi keluarga Sphingidae pula adalah bentuk tubuhnya yang memanjang dan membuatkannya terbang dengan lebih kuat dan laju.


Rama-rama mempunyai ciri fizikal dan tingkah laku yang menarik. Sebagai contoh, pergerakan rama-rama pada waktu malam dibantu oleh cahaya bulan dan bintang. Selain itu, rama-rama juga mempunyai sayap yang berwarna pudar jika dibandingkan dengan warna sayap kupu-kupu. Walaubagaimanapun, ada sesetengah rama-rama yang mempunyai warna dan corak yang unik.



Corak yang terdapat pada sayap rama-rama mempunyai kelebihan di mana ia boleh menyamar bagi mengelakkan daripada dikesan oleh musuh dan pemangsanya seperti burung. Sebagai contoh, ia boleh menyamar ia hinggap pada pokok disebabkan oleh warna sayapnya yg pudar dan sama seperti warna kulit kayu. Tambahan lagi, rama-rama boleh menyerupai daun kering yg sudah mati untuk menyembunyikan diri. Berdasarkan gambar di atas iaitu Attacus atlas, di hujung sayap atasnya terdapat corak seperti menyerupai kepala ular. Corak ini membantu untuk menyelamatkan ia daripada ancaman pemangsa.


Kebanyakan orang tidak menyedari akan kepentingan rama-rama terhadap ekosistem kita. Antaranya, rama-rama dijadikan sebagai indikator biologi untuk menganalisis biodiversiti kerana kepelbagaiannya yang tinggi membuatkan ia sangat sensitif terhadap perubahan keadaan persekitaran. Tambahan lagi, selain kupu-kupu, rama-rama juga mempunyai kelebihan di mana ia menjadi agen pendebungaan pada waktu malam. Pokok bunga yang biasa dilawati oleh rama-rama adalah pokok bunga berwarna putih dan pucat yang berbau wangi dan mempunyai kandungan madu bunga yang tinggi.


Antara fakta menarik berkenaan pendebungaan adalah pendebungaan pokok Yucca yang didebungakan oleh rama-rama Yucca. Hal ini kerana, tanpa rama-rama Yucca, pokok Yucca tidak akan menghasilkan buah atau biji benih. Dalam masa yang sama, rama-rama Yucca akan bertelur pada pokok tersebut di mana pokok tersebut dapat melindungi telur rama-rama. Apabila telur berubah menjadi ulat beluncas, pokok tersebut sudah menghasilkan buah dan biji benih. Perkara ini menunjukkan bahawa rama-rama Yucca dan pokok Yucca mendapat manfaat daripada hubungan tersebut.


Walaubagaimanapun, terdapat juga spesis yang membawa kepada kerosakan terhadap alam sekitar. Sebagai contoh, Plutella xylostella (L.) adalah antara serangga perosak yang sangat serius di Malaysia kerana ketahanannya terhadap racun serangga yang baru dan lama. Spesis ini merosakkan tanaman sayur-sayuran seperti yang terjadi di Cameron Highland pada tahun 1988. Tambahan lagi, genus Tirathaba adalah satu lagi spesis rama-rama yang merosakkan pokok kelapa sawit di mana ia menyebabkan buah kelapa sawit menjadi rosak.


Seperti yang dinyatakan, rama-rama mempunyai kekayaan spesis yang tinggi. Contohnya, terdapat lebih kurang 4000 spesis rama-rama di Borneo. Tambahan lagi, masih banyak yang belum diketahui walaupun terdapat kekayaan spesis rama-rama yang tinggi di Hutan Hujan Tropika di Maliau Basin, Sabah. Berdasarkan kajian, hanya spesis makro yang dapat dikenalpasti berbanding dengan spesis rama-rama yang kecil. Hal ini menunjukkan bahawa masih kurang kajian berkaitan rama-rama di Malaysia, lebih-lebih lagi di Semenanjung Malaysia.


Walaupun spesis rama-rama mempunyai kekayaan yang tinggi, terdapat juga yang semakin diancam kepupusan yang dikatakan berkait rapat dengan kemusnahan alam sekitar dan kewujudan cahaya buatan seperti lampu di jalan. Cahaya buatan ini menyebabkan rama-rama lebih mudah dikesan oleh pemangsa seperti kelawar. Tambahan lagi, penggunaan racun serangga yang digunakan dalam penanaman juga dapat membunuh rama-rama. Perubahan cuaca juga adalah antara ancaman terhadap rama-rama jika sebahagian daripadanya tidak dapat menyesuaikan diri dan beradaptasi.


Oleh itu, lebih banyak kajian berkaitan populasi dan struktur genetik rama-rama harus dijalankan kerana mungkin masih banyak lagi spesis yang masih tidak diketahui di Malaysia terutamanya di Semenanjung Malaysia. Justeru, populasi rama-rama dapat dipelihara dengan penanaman tumbuhan yang menjadi sumber makanan ulat beluncas seterusnya menjaga habitat semulajadi rama-rama. Dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat mengelakkan serta mengurangkan spesis rama-rama daripada diancam kepupusan.


Rujukan:


Anker, A., Hurt, C. & Knowlton, N. (2007). Revision of the Alpheus nuttingi (Schmitt) species complex (Crustacea:Decapoda:Alpheidae), with description of a new species from the tropical eastern Pacific. Zootaxa, 1577, 41–60.


Asghar, U., Malik, M. F., Anwar, F., Javed & Raza., A. (2015) DNA Extraction from Insects by Using Different Techniques: A Review. Advances in Entomology, 3, 132-138.


Barlow, H. S. (1982). An introduction to the moths of South East Asia.


Besansky, N. J., Severson, D. W. & Ferdig, M. T. (2003). DNA barcoding of parasites and invertebrate disease vectors: what you don’t know can hurt you. Trends Parasitology, 19, 545–546.


Brehm, G., Pitkin, L. M., Hilt, N. & Fiedler, K. (2005). Montane Andean rain forests are a global diversity hotspot of geometrid moths. Journal of Biogeography, 32(9), 1621–1627.


Cott, H. (1940). Adaptive Coloration in Animals. London: Methuen.


Dessauer, H. C. & Hafner, M. S. (1984). Collections of Frozen Tissues: Value, Management, Field and Laboratory Procedures, and Directory of Existing Collections. Association of Systematics Collections, Lawrence, Kansas.


Erwin, T. L. (2008). Tropical forests : their richness in Coleoptera and other arthropod species. The Coleopterists Bulletin, 36(1), 74–75.


Ghazali, S. Z., Md-Zain, B. M., Maideen, H., Maimon, H. & Yaakop, S. (2014). A first record of gregarious moth pest, Herpetogramma platycapna (meyrick) of fern species, Angiopteris evecta (G. forst.) hoffm from Malaysia. Malaysian Applied Biology, 43(2), 105–110.


Jaroensutasinee, M., Pheera, W. & Ninlaeard, R. (2011). Weather affecting macro-moth diversity at Khao Nan National Park , Thailand. Walailak Journal, 8(1), 21–31.


Kadirvel, P., Srinivasan, R., Mei-ying, L., Al-Jouri, E., Idraw, M. W., & de la Peña, R. C. (2010). Occurrence of Diadegma semiclausum, a parasitoid of diamondback moth in lowlands of Syria. Journal of Asia-Pacific Entomology, 14, 52–57.


Khen, C. V. (2010). Moth diversity in Tropical Rain Forest of Maliau Basin , Sabah , Malaysia , with special reference to Ginseng Camp, 6, 61–77.


Mary Beth Griggs (2014). Smart News (June 16, 2014). Giant Moths Have Descended on Malaysia, and No One Knows Why. Retrieved from http://www.smithsonianmag.com/smart-news/giant-moths-are-flying-around-malaysia-180951746/?no-ist


Mitchell, A. & Samways, M. J. (2005). DNA evidence that the morphological ‘forms’ of Palpopleura lucia (Drury) are separate species (Odonata: Libellulidae). Odonatologica, 34, 173-178.


Montasir, O. M., Lau, W. H. & Dzolkhifli Bin Omar (2015). Observations on the biology and larval instars discrimination of wax moth Achroia grisella F. (Pyralidae: Lepidoptera). Journal of Entomology, 12(1), 1–11.


Poulton, E. B. (n.d.). The colours of animals: their meaning and use, especially considered in the case of insects.


Rice, A. J. & White, P. J. T. (2015). Community patterns in urban moth assemblages. Journal of Lepidopterists’ Society, 69(3), 149–156.


Robinson, G. S., Tuck, K. R. & Shaffer, M. (1994). A Field Guide to the Smaller Moths of South-East Asia. London: The Natural History Museum.


Samways, M. J. (1996). Saving Insects: A Crisis Science Insect Conservation Biology. BioScience, 46(3), 212–213.


Šíchová, J., Nguyen, P., Dalíková, M. & Marec, F. (2013). Chromosomal Evolution in Tortricid Moths: Conserved Karyotypes with Diverged Features. PLoS ONE, 8(5), 23–28.


Skowron, M. A., Munisamy, B., Hamid, S. B. A. & Wegrzyn, G. (2015). A new species of clearwing moth (Lepidoptera: Sesiidae: Osminiini) from Peninsular Malaysia, exhibiting bee-like morphology and behaviour. Zootaxa, 4032(4), 426–434.


Syed, A. R. (n.d.). Insecticide resistance in diamondback moth in Malaysia, 437–442.


van Nieukerken EJ, Kaila L, Kitching IJ, Kristensen NP, Lees DC, et al. (2011). Order Lepidoptera Linnaeus, 1758. In: Zhang ZQ, editor. Animal biodiversity: An outline of higher-level classification and survey of taxonomic richness. Zootaxa, 3148, 212–221.


Waiho, K., Fazhan, H., Shahreza, M. S. & Zaleha, K. (2013). Isolation and characterization of partial mitochondrial CO1gene from harpacticoid copepod, Leptocaris canariensis (Lang, 1965). African Journal of Biotechnology, 12(50), 6901-6906.


Will, K. W., & Rubinoff, D. (2004). Myth of the molecule: DNA barcodes for species cannot replace morphology for identification and classification. Cladistics, 20, 47–55.


Yaakop, S. & Manaf, S. M. A. (2015). The Bunch Moth of the Tirathaba Species As A Hidden Pest on The Peat Soil of Oil Palm Plantations: Implications of Biological Life Cycles. The DNA Barcoding Approach and Infestation Pattern Detection. International Conference Chemical, Agricultural and Medical Sciences, 4.


Zenker, M. M., Rougerie, R., Teston, J. A., Laguerre, M., Pie, M. R. & Freitas, A. V. L. (2016). Fast census of moth diversity in the neotropics: a comparison of field-assigned morphospecies and DNA barcoding in tiger moths. 11(2), 1–17.


Kredit Foto : i.ytimg


15total visits,15visits today


Norlida Ishak Shop