Expired : 18.06.18

Ramli tak setuju kitar semula

BEKAS pemain Olimpik 1980, Ramli Junit tidak bersetuju dengan langkah beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan import kitar semula.


Baginya, jika import terbabit benar-benar berkualiti kenapa pengurusan melepaskan mereka kepada pasukan baharu.


Justeru, hasilnya persembahan pemain terbabit tetap sama dengan apa yang di persembahkan mereka pada musim sebelumnya.


"Malah pemain tempatan juga sudah memahami teknik, kemahiran dan corak permainan mereka berikutan berhadapan import sama saban musim.


"Situasi terbabit juga tidak membantu meningkatkan prestasi pemain tempatan yang perlu belajar sesuatu yang baharu daripada mereka.


"Dalam masa sama tarikan penonton untuk ke stadium juga semakin 'menipis' berikutan menyaksikan sajian import kitar semula setiap musim, cuma pasukan sahaja yang berbeza,” katanya.


Baginya, mengikat pemain import kitar semula dalam beberapa pasukan jelas membantutkan perkembangan pemain -pemain tempatan.


Malah atas pemikiran dan sikap pihak pengurusan pasukan yang hanya mahu mengambil mudah dan jalan pintas bagi memperkuatkan pasukan menyebabkan Liga Malaysia tidak menarik.


Katanya, tanggungjawab untuk mengkaji dan menilai pemain kitar semula perlu dilaksanakan dengan cara yang betul termasuk dari segi prestasi dengan pasukan terdahulu.


Ramli berkata, sepatutnya pengurusan sentiasa mencari pemain import baharu bukan kitar semula bagi memastikan pasukan sentiasa berwajah baharu dan bergaya mantap.