Expired : 18.06.18

Ranjau posmen, 5 anak cemerlang [METROTV]

BERBEKALKAN gaji kurang daripada RM400 sebulan, Mohd Termizi Abdul Razak, 58, sejak 37 tahun yang lalu masih mampu memberikan pendidikan terbaik kepada lima cahaya matanya.


Bukan setakat di bangku sekolah, malah semua anaknya berjaya menggenggam segulung ijazah dan kini membina kerjaya diimpikan.


Bagaimanapun, perasaan sebak lelaki itu sukar disorokkan tatkala mengimbau kembali cabaran kehidupannya ketika membesarkan keluarga.


Mujur si isteri, Nadzifah Ab Rahman, 60, setia berada di sisi ketika Termizi pernah melontarkan hasrat menoktahkan kerjayanya sebagai seorang posmen.


“Awak fikir 10, 20 kali kalau nak berhenti jadi posmen. Itu yang orang rumah cakap masa saya beritahu sudah penat jadi posmen dan mahu bawa teksi saja.


“Saya fikir ada betulnya, sekurang-kurangnya kalau sakit atau cuti, gaji masih jalan. Bil perubatan saya ditanggung syarikat,” kata Mohd Termizi yang memulakan kerjaya sebagai kakitangan Pos Malaysia sejak 1982.


MOHD Termizi (tengah) bersama keluarga. FOTO Zunnur Al Shafiq

Bapa kepada Naqhiah, 31, graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzham Shah (jurusan Pengajian Islam Syariah); Najihah, 28, graduan Universiti Teknologi Mara (jurusan Farmasi); Mohd Amin Fahimi, 26, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (jurusan pengajian Bahasa Arab); Muhamad Amir Hakimi, 24, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (jurusan Usuludin dan Kaunseling); dan Naqibah, 22, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (jurusan Pengajian Arab dan Tamadun Islam), kini masih bertugas sebagai kakitangan Pos Malaysia Bhd.


Apabila ditanya adakah menyesal menjadi seorang posmen, dia cuma memberi jawapan ringkas.


“Usia sudah 58 tahun dan sampai sekarang saya masih berkhidmat di syarikat ini,” katanya tersenyum puas.


Meskipun kini menjawat jawatan sebagai Posmen Tingkatan Kanan di Pos Daftar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melakukan kerja di pejabat saja, rasa rindunya menggalas tanggungjawab sebagai posmen (pemandu van serahan) tidak pernah padam selama 17 tahun.


Termizi berkata, kisah manis sebenarnya lebih banyak daripada yang pahit.


Pengalaman menghantar barangan ke rumah orang kenamaan negara dan selebriti antara yang dikongsikan kepada penulis.


Cabaran ketika bertugas sehingga pernah terbabit dalam kemalangan juga terisi dalam sesi temu bual selama 30 minit bersamanya.


“Saya masih ingat pagi bulan puasa. Dalam perjalanan menghantar barangan ke Cheras. Ketika itu mana ada lagi aplikasi penunjuk arah. Jadi kita kena fikir laluan dan pastikan barangan serahan sentiasa selamat.


“Entah macam mana, van yang dipandu saya hampir menjunam ke dalam parit yang agak besar dan sebelum itu ia berpusing. Mujur saya tidak cedera dan hanya van yang rosak,” katanya.


MOHD Termizi menunjukkan van yang pernah dipandunya ketika bertugas. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ

Menurutnya, perkara paling penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai posmen adalah sabar, amanah dan rajin.


“Saya lihat zaman semakin mencabar tetapi sebagai pekerja kita kena tahu berdepan dengannya,” katanya.


Sementara itu, anak sulungnya, Naqhiah berkata, sehingga kini mereka adik-beradik mengagumi usaha bapa dan ibu membesarkan lima anak sehingga berjaya ke universiti.


“Dulu masa sekolah, siang ayah bekerja sebagai posmen dan malam pula memandu teksi. Ayah sentiasa berpesan kepada kami belajar rajin-rajin untuk berjaya.


“Kadang-kala apabila rasa penat untuk bekerja, pasti teringat kepayahan ayah membesarkan kami dan ia menjadikan saya tidak berputus asa,” katanya.


Ternyata bertemu empat mata dengan Termizi memberi gambaran bahawa tugas seorang posmen untuk membesarkan keluarga bukan sesuatu yang mudah.


Apabila mengutuskan sepucuk surat dengan setem berharga 60 sen untuk dikirimkan ke 9.2 juta alamat di seluruh negara, tanpa disedari sebenarnya si posmen menjalankan tugas penuh mencabar yang menjentik emosi.


Hakikatnya, Pos Malaysia yang sudah menjadi entiti swasta sejak 1992, jiwanya menyantuni rakyat tidak pernah lekang, meskipun berdepan dengan cabaran perniagaan.


MOHD Termizi ketika ditemui di Ibu Pejabat Pos Malaysia Daya Bumi. FOTO Zunnur Al Shafiq

Norlida Ishak Shop