Expired : 18.06.18

Rawatan COVID-19 Menggunakan Ubat Tradisional : Permasalahan dan Potensi

Oleh : Dr. Nurul Iman Aminudin
Jabatan Kimia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



Baru – baru ini, telah tular di laman media sosial berkenaan penggunaan pelbagai jenis herba tempatan seperti daun semambu dan daun ketum sebagai kaedah rawatan alternatif bagi wabak penyakit COVID-19. Walaupun begitu, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tiada kajian klinikal yang mampu membuktikan dakwaan tersebut. Namun sebaliknya situasi berbeza pula yang berlaku di China kerana ubat tradisional cina atau ‘Traditional Chinese Medicine’ (TCM) telah mendapat sokongan hebat daripada pihak kerajaan sebagai rawatan alternatif bagi mengurangkan simptom COVID-19 (Rajah 1). Malah, kerajaan China juga turut menghantar TCM tersebut ke luar negara termasuk Itali dan Iran yang turut terjejas teruk akibat wabak ini sebagai bantuan antarabangsa. Walaupun begitu, para saintis dunia dan pengamal perubatan menyangkal dan mempersoalkan kesahihan dakwaan China dan tidak menggalakkan penggunaan TCM tersebut.



Rajah 1: China mempromosi TCM untuk menentang COVID-19. Sumber (thestar)

Timbul persoalan di sini, apakah beza antara ubat tradisional dan ubat moden? Apakah proses kajian yang perlu dilakukan supaya sesuatu ubat tradisional diluluskan untuk kegunaan dalam bidang perubatan? Mengapakah para saintis dan pengamal perubatan menolak penggunaan ubat tradisional sebagai kaedah rawatan COVID-19?



Ubat tradisional vs ubat moden


Ubat tradisional merujuk kepada ilmu, skil dan amalan yang dipraktikkan bersandarkan teori, kepercayaan budaya tempatan yang digunakan dalam pencegahan dan rawatan penyakit. Terdapat ubat tradisional yang mempunyai rekod bertulis dan sekadar amalan turun – temurun. Ubat tradisional juga turut dikenali sebagai ubat alternatif dan pelengkap (alternative and complementary medicine).  Setakat ini, majoriti populasi dunia masih lagi bergantung kepada ubat tradisional sebagai langkah penjagaan kesihatan. Ramuan ubat tradisional kebiasaannya terdiri daripada ekstrak tumbuhan sama ada daripada satu jenis atau campuran yang diambil dalam bentuk air rebusan, pil dan minyak urut.


Ubat moden pula merujuk kepada kemajuan dalam kefahaman kesihatan manusia dan keupayaannya merawat penyakit kronik dan ketidakupayaan keadaan fizikal. Ubat moden berupaya menghentikan atau melambatkan perkembangan penyakit, mencegah dan menambah baik kualiti hidup pesakit. Ia digunakan secara meluas dalam bidang kesihatan dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO). Formulasi ubat moden biasanya mengandungi bahan aktif yang diketahui komposisinya. Bahan aktif yang digunakan dalam ubat moden sedikit sebanyak merupakan hasil daripada kajian lanjutan terhadap sumber semulajadi iaitu tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma. Lebih daripada 55% ubat moden yang digunakan ketika ini adalah dari sumber tumbuhan. Ubat moden ini telah melalui proses pembangunan ubat (drug development process) yang disyaratkan oleh Pentadbiran Makanan & Dadah, Amerika Syarikat (US Food & Drug Administration, FDA).


Walaupun kebanyakan ubat moden adalah bersumberkan tumbuhan, ini tidak bermakna ekstrak tumbuhan boleh diambil sewenang – wenangnya. Ekstrak tumbuhan mengandungi pelbagai jenis fitokimia dan ia berbeza dari segi peratusan komposisi. Fitokimia adalah bahan kimia yang dihasilkan secara semula jadi di dalam tumbuhan yang berperanan sebagai mekanisma pelindung dari patogen dan serangga perosak. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kandungan fitokimia di dalam ekstrak tumbuhan. Antaranya ialah tempat asal dan keadaan cuaca tumbuhan itu diperoleh, kematangan tumbuhan dan cara penyediaan ubat tradisional. Jika faktor tersebut tidak dikawal, maka akan berlakulah kepelbagaian kandungan fitokimia di dalam ekstrak tersebut dan boleh membawa kesan buruk kepada orang yang mengambilnya. Kebanyakan ubat tradisional tidak diketahui sumber dan cara pemprosesannya apatah lagi kandungannya. Oleh itu, proses piawaian (standardization) mestilah dilakukan bagi memastikan ubat tradisional tersebut adalah berkualiti.



Proses Pembangunan Ubat (Drug Development Process)


Rajah 2: Peringkat dan garis masa proses penemuan dan pembangunan ubat. Sumber (act)

US FDA adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab memastikan keberkesanan dan keselamatan ubat terhadap manusia. Terdapat 5 peringkat kajian ditetapkan oleh FDA yang mengambil masa hampir 15 tahun (Rajah 2) sebelum sesuatu bahan diluluskan sebagai ubat dalam bidang perubatan. Peringkat – peringkat kajian tersebut adalah:



Peringkat 1: Penemuan dan Pembangunan (Discovery and Development)


Pada peringkat ini, para penyelidik membuat penemuan ribuan calon ubat dari pelbagai sumber seperti tumbuhan, binatang dan hasil sintetik yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai ubat rawatan untuk penyakit tertentu melalui kajian saringan di makmal. Namun, hanya sebilangan kecil calon ubat akan dipilih untuk kajian lanjut pembangunan ubat baru. Selepas para penyelidik mengenal pasti calon ubat yang berpotensi, ia akan melalui kajian lanjutan di makmal untuk mendapatkan maklumat – maklumat penting seperti:


  • Farmakokinetik iaitu cara penyerapan, pengedaran, metabolisma dan pengeluaran (absorption, distribution, metabolism and excretion, ADME) oleh badan

  • Dos yang terbaik

  • Cara pengambilan ubat yang terbaik (melalui mulut atau suntikan)

  • Kesan sampingan ringan dan tindak balas buruk

  • Kesan terhadap pelbagai jenis pesakit (perbezaan umur, jantina, bangsa dan etnik)

  • Interaksi terhadap makanan dan ubat lain

  • Keberkesanan berbanding ubat sedia ada

Hanya calon ubat yang melepasi semua ujian tersebut akan dipilih untuk kajian di peringkat 2.



Peringkat 2: Kajian Praklinikal (Preclinical Research)


Sebelum calon ubat yang telah melepasi peringkat 1 diuji ke atas manusia, para penyelidik harus menentukan maklumat dos dan tahap toksik terhadap manusia. Terdapat dua jenis kajian praklinikal:


  • in vitro (kajian yang dijalankan di dalam tabung uji, piring petri atau di luar organisma hidup)

  • in vivo (kajian yang dijalankan menggunakan organisma hidup seperti haiwan)

Melalui dapatan kajian ini, tahap keselamatan calon ubat tersebut akan dapat ditentukan untuk ujian klinikal ke atas manusia di peringkat 3.



Peringkat 3: Kajian klinikal (Clinical Research)


Kajian praklinikal tidak dapat menggantikan ketepatan maklumat tentang mekanisma interaksi ubat di dalam badan manusia. Oleh itu, kajian klinikal adalah amat penting sebelum sesuatu calon ubat boleh dipasarkan dalam bidang perubatan. Fasa kajian klinikal terbahagi kepada 4 iaitu:




Peringkat 4: Semakan FDA (FDA Review)


Syarikat pengeluar ubat yang mempunyai dapatan kajian praklinikal dan klinikal yang terbukti selamat dan berkesan boleh memohon untuk mendapatkan kelulusan FDA. Anggota FDA yang terlibat dalam proses kelulusan ini adalah terdiri daripada pengurus projek, pegawai perubatan, ahli statistik, ahli farmakologi, ahli farmakokinetik, ahli kimia dan ahli mikrobiologi.



Peringkat 5: Kawal Selia Keselamatan Pasca Pemasaran oleh FDA (FDA Post-Market Safety Monitoring)


Walaupun kajian klinikal telah dijalankan dengan teliti dan terperinci, adalah mustahil untuk mendapatkan keseluruhan gambaran sebenar mengenai keselamatan ubat dalam tempoh kajian tersebut. Oleh itu, FDA akan sentiasa menyemak laporan berkaitan ubat yang telah dipasarkan. Kaedah ini akan memastikan maklumat tambahan yang tidak diperoleh semasa kajian klinikal dapat dikenalpasti, ditambah baik dan memastikan ubat ini kekal berkesan dan selamat.



Kesimpulan


Pada ketika ini, penggunaan TCM dan sebarang ubat tradisional tidak diterima baik oleh para saintis dan pengamal perubatan dunia kerana tidak terdapat bukti kukuh sama ada ia telah melalui proses kajian pembangunan ubat yang ditetapkan oleh FDA. Tiada ujian praklinikal dan klinikal terperinci yang boleh dijadikan rujukan untuk membuktikan dakwaan ini. Berdasarkan faktor keselamatan, adalah wajar penggunaan ubat tradisional ditolak sebagai kaedah rawatan COVID-19 pada masa ini. Namun, tidak dinafikan, ubat tradisional mempunyai potensi dan perlu dikaji dengan mendalam dan teliti mengikut proses dan garis panduan FDA dalam usaha mencari penawar untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 ini.



Rujukan


https://www.thestar.com.my/news/regional/2020/04/24/china-promotes-traditional-medicine-to-fight-against-epidemic


https://www.nature.com/articles/d41586-020-01284-x


Che, C. T., George, V., Ijinu, T. P., Pushpangadan, P., & Andrae-Marobela, K. (2017). Traditional Medicine. In Pharmacognosy: Fundamentals, Applications and Strategy. Elsevier Inc.


Salazar, D. E., & Gormley, G. (2017). Modern Drug Discovery and Development. In Clinical and Translational Science: Principles of Human Research: Second Edition (Vol. 26). Elsevier Inc.


Yuan, H., Ma, Q., Ye, L., & Piao, G. (2016). The traditional medicine and modern medicine from natural products. Molecules, 21(5) 1 – 18 .


WHO. (2018). Annex 1. WHO guidelines on good herbal processing practices for herbal medicines. WHO Technical Report Series, No. 1010, 81–152.


http://www.appliedclinicaltrialsonline.com/fda-s-expedited-review-process-need-speed


https://www.fda.gov/patients/learn-about-drug-and-device-approvals/drug-development-process



Xu, J., & Zhang, Y. (2020). Traditional Chinese Medicine treatment of COVID-19. Complementary Therapies in Clinical Practice, 39(April), 101165.


Yang, Y., Islam, M. S., Wang, J., Li, Y., & Chen, X. (2020). Traditional Chinese medicine in the treatment of patients infected with 2019-new coronavirus (SARS-CoV-2): A review and perspective. International Journal of Biological Sciences, 16(10), 1708–1717.



Kredit Foto : CNN