Expired : 18.06.18

Rejim El-Sisi enggan serah mayat tahanan kepada keluarga


KAHERAH, 5 Rejab 1440H, Selasa – Penyelaras Hak Asasi dan Kebebasan Mesir (ECRF), Ahmed El-Attar, mendakwa rejim Mesir masih menyimpan beberapa tahanan yang menjalani hukuman mati, serta menghalang keluarga si mati daripada mengebumikan mereka.


Statistik terbaharu menunjukkan, walaupun pihak berkuasa rejim Mesir biasanya mengumumkan sejumlah tahanan yang telah menjalani hukuman mati, atau meninggal dunia di dalam penjara, mayat mereka tidak diserahkan kepada pihak keluarga untuk pengebumian.


ECRF menamakan tiga tahanan masing-masing, Ibrahim Khader, Ahmed Yusri dan Ibrahim Abu Sulaiman, yang meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan lalu, tetapi tidak diserahkan kepada keluarga mereka.


Ahmed berkata, lebih kerap aduan diterima membabitkan rumah mayat Zainhom di Kaherah, apabila tahanan dikebumikan di tanah perkuburan yang dikhaskan kepada jenazah tanpa keluarga.


“Keluarga hanya dimaklumkan mengenai kematian mereka selepas mayat dikebumikan. Ini mencetuskan spekulasi bahawa pihak berkuasa Mesir cuba menyembunyikan punca kematian tahanan itu,” katanya.


Perhatian serius diberikan ke atas pihak berkuasa rejim Mesir dan kematian tahanan sejak beberapa minggu lalu, susulan hukuman mati yang telah dilaksanakan ke atas enam lelaki yang dituduh cuba membunuh peguam negara pada 2015.


Klip video tertuduh mendakwa mereka dipaksa mengaku salah disebarkan dalam media sosial, mendapat kecaman antarabangsa.


Hukuman mati yang dijalankan rejim Mesir ke atas enam lelaki dalam dua kes berasingan bulan lalu, mendapat kecaman kumpulan hak asasi yang mengatakan ianya tidak adil.


Sekurang-kurangnya, 1,400 orang dijatuhi hukuman mati sejak 2013, kebanyakannya bermotifkan politik, selepas pemimpin tentera Abdel Fattah El-Sisi merampas kuasa daripada presiden yang dilantik secara demokrasi, Mohammed Morsi.


Memerintah secara kuku besi, El-Sisi melancarkan operasi besar-besaran menangkap mereka yang menentangnya, termasuk Morsi, dan mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas.


Penyeksaan dan pembunuhan sewenang-wenangnya kerap berlaku di Mesir, dengan tahanan mendedahkan mereka diugut oleh pegawai tentera jika tidak mahu mengaku melakukan kesalahan.


Amnesty International menyifatkan apa yang berlaku sejak 2013 adalah krisis hak asasi paling buruk di Mesir dalam tempoh sedekad, dengan rejim El-Sisi secara sistematik menggunakan kuasa penangkapan bagi menakutkan penduduk daripada bersuara. – Agensi


The post Rejim El-Sisi enggan serah mayat tahanan kepada keluarga appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop