Expired : 18.06.18

Remaja 16 tahun ditemui mati, dipercayai dibunuh adik perempuan 

MAYAT remaja lelaki yang dibungkus plastik ditemui di belakang rumah jirannya di Taman Greenview, Kamunting, Taiping, hari ini, dipercayai mangsa bunuh adik perempuannya bersama teman lelaki.


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemui orang awam jam 12.18 tengah hari.


Menurut beliau, identiti mangsa telah disahkan ahli keluarga yang membuat pengecaman di hospital.


Katanya, polis sebelum ini menerima laporan dari ahli keluarga mangsa mengenai kehilangannya pada Jumaat lalu.


“Polis yang menjalankan siasatan awal berjaya menahan adik perempuan mangsa berusia 14 tahun serta teman lelaki adik perempuannya itu berusia 15 tahun.


“Kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa,” katanya dalam kenyataannya hari ini.


Osman berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.


Osman berkata, siasatan polis turut mendapati pada hari dilaporkan mangsa hilang, mangsa dipercayai baru pulang dari sekolah sebelum mendapati adik perempuannya membawa rakan-rakan termasuk teman lelaki ke rumah.


Menurutnya, semua rakan-rakan adik suspek termasuk teman lelakinya difahamkan beredar sebaik mengetahui mangsa pulang dari sekolah.


“Namun, teman lelaki suspek dipercayai tertinggal telefon bimbit dan apabila dia cuba menghubunginya semula, panggilan diangkat mangsa.


“Mangsa mencabar teman lelaki suspek supaya datang ke rumah untuk mendapatkan kembali telefonnya dan susulan itu satu pergaduhan berlaku sewaktu teman lelaki suspek kembali ke rumah mangsa.


“Mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua pergelangan tangan mangsa dengan pisau sebelum menyerkup kepala mangsa dengan plastik untuk membunuhnya,” katanya.


Osman berkata, siasatan unit forensik polis menemui pisau yang digunakan suspek dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.


Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan polis di rumah mereka pada jam 4.25 petang untuk siasatan lanjut.


“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


The post Remaja 16 tahun ditemui mati, dipercayai dibunuh adik perempuan  appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop