Expired : 18.06.18

Rencana : Ketua Menteri Melaka Perlu Belajar Dari Peristiwa Ming Court


Oleh : IBNU JANIE


Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dengan akuan bersumpah menyokong beliau menjadi Perdana Menteri (PM) sehingga habis penggal. Namun begitu, makin Tun Mahathir menafikan perkara ini, makin kuat desas- desus mengenai perkara ini terdengar di sana sini.


Macam-macam berita dan analisis yang tersebar berkaitan perkara ini. Banyak juga tersebar carta perbandingan sokongan terkini ahli-ahli parlimen antara terhadap Tun Dr Mahathir atau Anwar Ibrahim.


Akhbar New Straits Times (NST) pada 15 Februari lepas memetik satu sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, kerajaan baru yang bakal menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang heboh diperkatakan oleh orang-orang politik itu bukan sahaja melibatkan perubahan dalam kerajaan persekutuan tetapi juga melibatkan perubahan kepada beberapa negeri yang sekarang ini dikuasai PH. NST turut menamakan tiga negeri itu adalah Melaka, Kedah dan Perak.


Memang dalam banyak-banyak kerajaan negeri di bawah PH, kerajaan Melaka, Kedah dan Perak adalah negeri yang mempunyai kerajaan paling rapuh. Kerajaan Melaka dibentuk hanya dengan majoriti dua kerusi. Di Kedah PH asalnya mempunyai 18 kerusi, sama banyak berbanding gabungan PAS dan BN. Namun kerajaan PH Kedah dapat dibentuk apabila beberapa orang Adun BN melompat.


Sama juga dengan Perak. PH pada asalnya menang 29 kerusi, BN 27 kerusi sementara PAS 3 kerusi. Sekiranya BN dan PAS bergabung pada masa itu ia boleh membentuk kerajaan dengan kelebihan satu kerusi. Namun PH berjaya membentuk kerajaan kerana dua orang Adun BN melompat kepada PH membolehkan PH membentuk kerajaan di Perak.


Degupan jantung Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari juga hampir terhenti gara-gara dua orang Exco Melaka tiba-tiba keluar sebelum usul lantikan senator wakil Melaka dibentangkan. Usul berkenaan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Melaka pada Isnin 25 November tahun lepas hanya meraih 12 undi berbanding 13 yang menolak.


Akibatnya kerajaan Melaka dimalukan dengan kegagalan melantik senator wakil Melaka di dalam DUN Melaka itu. Ia juga mungkin satu amaran dari kumpulan yang bertelagah di dalam PH ini bahawa kerajaan PH Melaka boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja dengan tindakan mereka ini.


Dua orang Exco yang keluar dewan itu juga memang sedia diketahui sebagai orang Azmin. Azmin pula orang Tun Dr Mahathir. Bukan lagi rahsia PKR terpecah dua antara kumpulan Anwar dan kumpulan Azmin. Pertelingkahan yang semakin membarah dalam PKR sekarang juga meletakkan kerajaan Adly benar-benar dalam bahaya.


Pada 29 Januari lepas pula mahkamah telah memutuskan tidak ada ikat jamin untuk ADUN Gadek, YB Saminathan yang dituduh menyokong LTTE. Ini menjadikan kerajaan Adly hanya tinggal majoriti satu kerusi di dalam DUN Melaka. Ia telah menukar status kedudukan kerajaan PH Melaka daripada ‘bahaya’ kepada ‘sangat bahaya’.


Jika penulis duduk di tempat Adly, barangkali penulis pun susah juga nak tidur malam. Takut-takut bangun pagi Kerajaan Negeri Melaka sudah bertukar. Tapi penulis ingin memberikan idea kepada Adly apa yang beliau boleh lakukan untuk menangani ketidaktentuan ini.


Penulis ada membaca sebuah rencana yang disiarkan dalam sebuah portal, mengimbau satu kisah lama tentang peristiwa Ming Court yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu iaitu Tun Tan Sri Taib Mahmud pada tahun 1987.


Mengikut kisahnya, pada masa itu terdapat satu komplot untuk menjatuhkan Taib Mahmud yang merupakan Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Antara yang terlibat dalam komplot itu ialah Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub bekas Ketua Menteri Sarawak yang pada ketika itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak. Beliau juga adalah bapa saudara kepada Taib Mahmud.


Mengikut rencana itu empat orang menteri dan tiga orang timbalan menteri Sarawak telah meletakkan jawatan dari kabinet Negeri Sarawak sebagai tanda bantahan. Mereka bersama-sama dengan 20 orang Adun Sarawak telah berkumpul di Hotel Ming Court.


Sebagai tindakbalas, Taib Mahmud telah bertindak membubarkan DUN Sarawak untuk menggagalkan cubaan menjatuhkannya itu. Dengan itu Sarawak telah mengadakan Pilihanraya Negeri (PRN) bersendirian, tidak serentak dengan pilihanraya Umum.


Akibat dari peristiwa itu juga PRN Sarawak sehingga sekarang dijalankan berasingan dari Pilihanraya Umum (PRU) yang dijalankan serentak dengan negeri lain dari seluruh negara. Selain itu, BN Sarawak mempunyai keanggotaan yang berbeza dari peringkat negeri dan persekutuan.


Rencana tentang peristiwa Ming Court itu memang sangat menarik untuk kita ambil pengajaran di saat kita berhadapan dengan kerapuhan kerajaan sepenggal PH samada di peringkat pusat atau negeri.


Penulis bawakan kisah ini sekadar untuk memberi idea kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. Manalah tahu jika ada sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan beliau maka bolehlah beliau menggunakan strategi ini untuk mematahkan usaha menjatuhkan kerajaan beliau.


Jika pertelingkahan antara Tun Mahathir dan Anwar ini benar-benar mencetuskan perpecahan di kalangan PH, Adly merupakan Ketua Kerajaan Negeri yang paling terkesan antara ketiga-tiga negeri yang PH mempunyai majoriti tipis ini.


Negeri Kedah dan Perak Menteri Besarnya dari Bersatu. Secara hukum akalnya mereka akan bersama kumpulan Tun Mahathir. Cuma Melaka sahaja Ketua Menterinya dari PAN. Tak tahulah jika berlaku ‘sesuatu’ itu Adly akan memihak kepada pasukan Tun Mahathir?


Sekiranya Adly membubarkan DUN maka rakyat akan dapat membuat keputusan siapa yang akan mereka beri mandat untuk memerintah. Selain itu ia boleh menjadi pengukur prestasi samada pentadbiran Adly diterima dan disukai rakyat atau pun tidak. Penulis harap Adly dapat memberi sedikit perhatian terhadap cadangan penulis ini.


Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah


(Rencana ini juga disiarkan dalam Harakah cetak 21 Februari 2020)


The post Rencana : Ketua Menteri Melaka Perlu Belajar Dari Peristiwa Ming Court appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).