Expired : 18.06.18

Ribuan sertai ulang tahun ke-71 Peristiwa Nakba di Kota London


LONDON, 8 Ramadan 1440H, Isnin – Ribuan peserta mengambil bahagian dalam perarakan di tengah kota raya ini, semalam, bagi memperingati ulang tahun ke-71 Peristiwa Nakba, bertepatan dengan rancangan damai bagi menyelesaikan masalah Palestin tahun ini.


Perarakan itu dianjurkan Forum Rakyat Palestin di Britain (PFB); Kempen Solidariti Palestin (PSC); Persatuan Muslim Britain (MAB); dan Kempen Hentikan Perang (STW).


‘Bebas Palestin’ dan ‘tamatkan kepungan ke atas Gaza’ adalah laungan yang kedengaran dalam perarakan itu, sambil peserta membawa sepanduk menyokong Palestin.


Perarakan itu bermula di Portland Place, melalui Oxford Circus dan Trafalgar Square, sebelum tiba di Downing Street yang menempatkan ibu pejabat kerajaan.


Duta Palestin ke United Kingdom (UK), Husam Zamlot, menegaskan penolakan sepenuhnya rakyat Palestin berhubung pelan damai ‘perjanjian abad ini’ yang bocor dalam media massa.


Pengerusi PFB, Hafiz Al-Karmi pula mengulangi gesaan supaya Kerajaan Britain memohon maaf kerana melakukan kesalahan mengenai Deklarasi Balfour, serta bekerjasama dengan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali tanah mereka yang diduduki rejim Israel.


Ikon remaja Palestin, Ahed al-Tamimi diterbangkan khas ke London untuk menyertai perarakan itu. Gadis 17 tahun itu pernah ditangkap pada lewat 2017 kerana menampar seorang askar Israel, dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.


“Kami tidak akan menjadi mangsa. Kami akan terus menentang,” kata Ahed dalam ucapan pada ulang tahun itu.


Jurucakap PFB, Adnan Humaidan pula menggesa Perdana Menteri Britain, Theresa May supaya berhenti membekalkan senjata dan menyokong kependudukan Israel, dengan menutup mata terhadap jenayah dilakukan, seperti pembunuhan bayi, Saba Abu Arrar dan ribuan kanak-kanak Palestin yang lain.


Peserta perarakan turut membawa sepanduk mengutuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan pelan damai yang dicurigai. – Agensi


Gambar-Gambar sekitar perarakan ulang tahun memperingati Peristiwa Nakba yang diadakan di tengah London, semalam.



The post Ribuan sertai ulang tahun ke-71 Peristiwa Nakba di Kota London appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop