Expired : 18.06.18

Ribut: Tujuh bangunan Politeknik Sultan Azlan Shah rosak


SLIM RIVER, 5 Rejab 1440H, Selasa – Sekurang-kurangnya tujuh bangunan, termasuk tiga blok asrama di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang di sini, rosak bumbungnya setelah dilanda ribut kira-kira jam 6 petang semalam.


Antara bangunan yang rosak ialah tiga blok asrama, Pusat Islam PSAS, dua blok jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik serta kiosk-kiosk perniagaan pelajar.


Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil berkata, setakat ini jumlah kerosakan masih belum diterima dan perlu menunggu laporan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Seramai 104 pelajar asrama telah dipindahkan sementara ke Pusat Islam PSAS, namun hanya 85 pelajar sahaja yang masih menumpang Pusat Islam. Selebihnya menumpang di bilik-bilik rakan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari di lokasi ribut dalam perkarangan politeknik itu di sini hari ini.


Dr Naimah berkata, beliau masih terkejut dengan kejadian yang berlaku memandangkan PSAS tidak pernah mengalami bencana ribut hingga menyebabkan kerosakan yang teruk.


“Kita bersyukur tiada pelajar mengalami kecederaan tapi kita berduka cita dimaklumkan salah seorang pengawal keselamatan kita menerima 10 jahitan di dahi selepas ditimpa bumbung ketika sedang bertugas dalam kejadian itu,” katanya.


Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri menerusi agensi terlibat akan menghulurkan bantuan yang termampu dalam menjaga keselamatan dan kebajikan penuntut-penuntut politeknik itu.


“Ibu bapa pelajar jangan risau kerana setakat ini kebajikan anak-anak anda masih dijaga baik oleh pihak PSAS dan mereka tidak perlu dihantar pulang memandangkan sesi pembelajaran masih berjalan.


“Kerajaan negeri bersama pihak PSAS akan melakukan yang terbaik dalam memastikan kerja-kerja pembaikan bangunan yang rosak dapat dijalankan dengan bantuan kementerian,” katanya.



Sementara itu, salah seorang mangsa, Nurul Hazwani Ahmad, 22, pelajar Diploma Perakaunan berkata, jeritan penghuni asrama wanita blok V1 Politeknik dalam kejadian ribut semalam masih terngiang-ngiang di telinganya yang berada di kediaman ketika itu.


Katanya, ketika kejadian dia berada di bilik asrama bersama seorang lagi rakannya sedang beristirehat selepas tamat kelas.


“Pada mulanya kami hanya mendengar bunyi angin kuat di luar dan tidak menghiraukannya, namun bunyi itu semakin kuat sehingga terdengar jeritan rakan-rakan asrama seorang demi seorang.


“Saya terus membuka pintu untuk melihat apa yang berlaku dan masa itu hujan lebat dan angin terlalu kuat hingga saya meminta tolong rakan sebilik bersama-sama menutup pintu bilik kami,” katanya ketika ditemui. – Bernama



The post Ribut: Tujuh bangunan Politeknik Sultan Azlan Shah rosak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop