Expired : 18.06.18

Richard Malanjum Ketua Hakim Negara yang baru

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sah dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang baru malam ini.


Malanjum hadir majlis istiadat angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara di Kuala Lumpur.


Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma’arop pula dinaikkan menjadi Presiden Mahkamah Rayuan. Kedua-duanya dikatakan dalam proses mengangkat sumpah dihadapan Sultan Muhammad V.


Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim akan menggantikan Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya. Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk David Wong Dak Wah menggantikan Malanjum sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baru.


Hal ini berikutan Tun Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang sepatutnya bersara pada 31 Julai tetapi telah diminta meninggalkan kedudukan mereka berkuatkuasa hari ini.


Sumber di Istana Keadilan Putrajaya memberitahu kedua-dua hakim berkenaan diminta mengemas barang-barang di pejabat mereka.


Hakim paling kanan


Pelantikan hakim berkenaan dibuat selepas Majlis Raja-raja bersidang hari ini. Di antara kesemua hakim di Mahkamah Persekutuan, Hakim Malanjum merupakan hakim paling kanan di mahkamah tertinggi negara.


Hakim Malanjum, lulusan Uitm yang menyelesaikan pengajian undang-undangnya pada tahun 1976.


Beliau kemudian meneruskan khidmatnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan peguam kanan di jabatan peguam negeri Sabah. Kemudian, beliau menyertai sektor swasta pada tahun 1981.


Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 1993.


Pada tahun 2002, beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan. Seterusnya, dalam usia 52 tahun, pada tahun 2005, beliau menjadi hakim Mahkamah Persekutuan yang paling muda.


Kadazandusun pertama


Pada 26 Julai 2006, Hakim Malanjum dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang keempat. Beliau anak jati komuniti Kadazandusun yang pertama dilantik ke jawatan itu.


Hakim Malanjum memainkan peranan penting ke arah pembentukan Mahkamah Anak Negeri.


Beliau juga merupakan Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.


Malanjum akan mencapai usia 66 tahun pada Oktober 2018 ini dan boleh diberikan lanjutan selama enam bulan sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Wanita kedua jadi Hakim Besar Malaya


Presiden Mahkamah Rayuan yang baru,  Ahmad, 65 tahun pula berasal dari Melaka dan dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman pada 2000.


Beliau kemudian menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 2007 dan dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan pada 2011.


Ahmad dilantik menjadi Hakim Besar Malaya tahun lalu.


Manakala Zaharah, 65 tahun merupakan wanita kedua yang dilantik sebagai Hakim Besar Malaya selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob.


Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2004 dan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 2010 dan Mahkamah Persekutuan pada 2015.


Wong pula berasal dari Sarawak dan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005.


Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.


Sumber : malaysiakini


The post Richard Malanjum Ketua Hakim Negara yang baru appeared first on Padu Seyh.


Norlida Ishak Shop