Expired : 18.06.18

RM30 juta usaha tangani jerebu rentas sempadan, pencemaran

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1441H, Jumaat – Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan dan pencemaran di negara ini dizahirkan melalui peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia bagi menangani isu itu.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti kedua-dua agensi tersebut.


Katanya, usaha itu juga untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar setelah negara dikejutkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dan masalah jerebu rentas sempadan baru-baru ini sehingga menjejaskan kesihatan rakyat negara ini.


Bagi mengurangkan insiden banjir kilat, Lim berkata kerajaan akan memperuntukkan RM443.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir manakala RM150 juta bagi menyelenggara pengurusan kolam takungan banjir sedia ada.


“Selain itu, untuk membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta untuk menyediakan pinjaman pada kadar faedah empat peratus,” kata Lim.


Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Lim berkata kerajaan juga komited dalam memulihara keaslian hutan dan biodiversiti semula jadi dengan memperuntukkan RM48 juta bagi tujuan tersebut.


“Sejumlah RM10 juta akan dikhususkan kepada sektor swasta melalui geran padanan. Usaha ini termasuklah menyokong inisiatif Central Forest Spine dan Heart of Borneo selain memulihara hutan terosot,” katanya.


Kerajaan juga menurut Lim, menyokong segala usaha melindungi haiwan terancam termasuk spesies Harimau Malaya dan orang utan dengan menyediakan RM15 juta kepada Perikatan Pemuliharaan Malaysia bagi Harimau (MYCAT), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.


Katanya, dianggarkan terdapat kurang daripada 200 Harimau Malaya dan 11,000 orang utan yang menghuni hutan.


Untuk tujuan sama, Lim berkata sejumlah RM20 juta disediakan bagi melantik renjer daripada kalangan askar bersara dan masyarakat Orang Asli setempat untuk melindungi flora dan fauna dengan baik.


Mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), Lim berkata kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk dana padanan bersama SDG antara Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membiayai inisiatif SDG.


“Sebagai tambahan, kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta untuk Jawatankuasa Pilihan Khas dan aktiviti berkaitan SDG di peringkat akar umbi melibatkan Anggota Parlimen dan masyarakat setempat,” katanya.- Bernama


The post RM30 juta usaha tangani jerebu rentas sempadan, pencemaran appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop