Expired : 18.06.18

RM50j bakal lebur bayar gaji

NILAI RM50 juta adalah jumlah kasar yang perlu ditanggung semua 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menjelaskan baki kontrak pemain jika saingan liga itu dibatalkan musim ini.


Jumlah berkenaan mengambil kira baki kontrak tujuh bulan bermula Mei hingga November ini yang perlu dijelaskan seperti dalam kontrak pemain.


Mengambil contoh paling minimum seorang pemain dibayar RM10,000 sebulan, didarab dengan 30 pemain dan pegawai pasukan sebelum didarab sekali lagi dengan tujuh bulan, untuk menjadikan nilai keseluruhan yang perlu ditanggung hingga hujung musim oleh satu pasukan adalah RM2.1 juta.


Sudah pasti nilai berkenaan perit untuk ditanggung di kala tiket perlawanan tidak dapat dijual ditambah dengan kesulitan pihak penaja untuk memberi komitmen susulan krisis Covid-19 ketika ini.


Jelas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, meskipun jumlah itu dilihat sangat besar, pasukan Liga M tiada pilihan lain dan mereka wajib menghormati kontrak pemain.


Begitu juga dengan KLFA, pengurusan pasukan komited membantu pemain, namun beliau menegaskan pemain juga perlu memahami situasi semasa dan cuba sama-sama mencari keputusan 'menang-menang'.


"Mengikut kaedah sedia ada, ada beberapa cara iaitu bayar pampasan kontrak mengikut baki yang tinggal. Kedua, ikut arahan Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) di mana kalau Fifa kata kontrak pemain dibatalkan maknanya ia dah tak sah.


"Tapi kita di KLFA tidak sekejam itu. Kita akan bayar juga, tetapi mungkin separuh saja bagi meringankan beban pemain sebab liga dibatalkan.


"Mana tahu musim depan kita nak pakai pemain ini lagi, jadi macam KLFA kita takkan biarkan pemain begitu saja. Kita akan bantu mereka dengan sebaik-baiknya," katanya kepada Arena Metro, semalam.


Menurut Nokman, FAM perlu segera mengumumkan keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan saingan musim ini bagi membolehkan perbincangan dilakukan segera oleh pasukan dengan pemain.