Expired : 18.06.18

RMS sertai Kayuhan Menjunjung Kasih

RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah dijangka menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 Edisi kedua pada 10 November ini, bermula di Sime Darby Sale Gallery, Bandar Bukit Raja.


Kayuhan anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu diadakan sempena meraikan Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, matlamat utama penganjuran adalah menzahirkan kesetiaan rakyat dan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada 11 Disember depan.


"Kayuhan ini bakal diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mencemar duli bersama peserta dalam kayuhan nanti, bersesuaian dengan konsep kayuhan santai bersama rakyat,” kata Mohamad Yasid dalam sidang media sempena Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 di MPK, hari ini.


"Kami juga menjemput Menteri Besar Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Datuk Bandar, Yang Dipertua Daerah serta Pegawai Daerah di seluruh Selangor.


"Laluan kayuhan di sekitar Bandar Bukit Raja memandangkan penaja utama kayuhan adalah Sime Darby Property. Ia turut ditaja Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, Kelab Sukan Rekreasi Ultimate Endurace dan Kagen Water System selain kayuhan ini mendapatkan kerjasama Majlis Sukan Selangor (MSN), Polis Daerah Klang Utara, serta Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS)."


Turut hadir di majlis berkenaan, Pengurus Besar Sime Darby Property Mohd Idris Abdullah; Pengurus Kanan Samsung Zulkifli Paimin dan wakil Kangen Water System Saifol Mualim Ahmad Yahaya.


"Laluan kayuhan sejauh 39.4 kilometer bermula di hadapan Sime Darby Sale Gallery, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor melalui Persiaran Batu Belah, Jalan Haji Sirat, Jalan Kereta Api Lama, Jalan Perepet, Jalan Kapar, Jalan Haji Abdul Manan, Persiaran Hamzah Alang, Persiaran Seri Prima, Persiaran Astaka, Persiaran Sg Keramat dan berakhir di Sime Darby Sale Gallery, Bandar Bukit Raja.


"Tetapi bagi mereka yang tidak mampu mengayuh sejauh itu, kita juga menyediakan laluan sejauh 6 kilometer dan kayuhan ini bermula pada jam 8 pagi," katanya.


Norlida Ishak Shop