Expired : 18.06.18

Rokok Elektronik Merosakkan Sel Stem Otak

Sebuah pasukan penyelidik di University of California, Riverside, mendapati rokok elektronik yang sering disasarkan kepada belia dan wanita hamil, menghasilkan tindak balas tekanan dalam sel stem saraf iaitu sel penting di dalam otak.


Ilustrasi Digital Sel Stem

Sel stem dihasilkan sepanjang hayat. Ia kemudiannya menjadi sel khusus dengan fungsi yang lebih spesifik, seperti sel otak, sel darah atau tulang. Sel stem sebelum berubah menjadi sel-sel khusus adalah jauh lebih sensitif terhadap tekanan dan ia dijadikan model untuk mengkaji kesan pendedahan kepada bahan toksin seperti asap rokok.


ARTIKEL BERKAITAN – Rokok Elektronik – Bahaya atau Membantu Perokok


Rokok elektronik atau EC adalah peranti pembekal nikotin yang menukarkan nikotin dan bahan perisa kepada bentuk aerosol melalui pemanasan. Para penyelidik masih belum memahami cara bahan kimia dalam EC mempengaruhi sel stem saraf, terutama mitokondria iaitu organel yang berfungsi sebagai penjana tenaga sel dan memainkan peranan penting dalam mengawal selia kesihatan sel.


Ilustrasi Digital Mitokondria

Menggunakan sel stem saraf tikus kultur, penyelidik UC Riverside mengenal pasti mekanisme di sebalik ketoksikan sel stem yang disebabkan oleh EC sebagai “hiperfusi* mitokondria yang disebabkan oleh tekanan”, atau SIMH. (*peningkatan pengaliran darah melalui organ)


“SIMH adalah tindak balas survival yang bersifat sebagai pelindung,” kata Prue Talbot, seorang profesor di Jabatan Biologi Molekul, Sel dan Sistem yang mengetuai penyelidikan itu. “Data kami menunjukkan pendedahan sel stem kepada cecair elektronik, aerosol, atau nikotin menghasilkan tindak balas yang membawa kepada SIMH.”


Kajian ini dijalankan ke atas Vuse, sebuah jenama EC terkenal dan boleh dibaca dalam iScience, jurnal akses terbuka daripada Cell Press.


“Walaupun pada mulanya diperkenalkan sebagai alternatif yang lebih selamat, EC seperti Vuse dan JUUL, ternyata berbahaya” kata Atena Zahedi, penulis pertama kertas penyelidikan yang menerima ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan bio tahun ini. “Pendedahan kepada bahan ini walaupun dalam jangka pendek boleh menyebabkan tekanan kepada sel manakala penggunaan secara tegar boleh mengundang penyakit atau kematian sel. Sebahagian besar pemerhatian kami dibuat terhadap produk yang mengandungi nikotin.”


Zahedi, penerima Fellowship Lepasan Kedoktoran Presiden UC 2019-20, menjelaskan semasa proses SIMH, mitokondria yang bulat dan berliang akan bersatu untuk membentuk jaringan panjang dengan pengaliran yang dipertingkatkan demi menyelamatkan satu sama lain; menjadikannya kurang terdedah kepada degradasi.


“Tahap nikotin yang tinggi dalam EC menyebabkan bahan itu membanjiri reseptor khas dalam membran sel stem saraf” kata Zahedi. “Nikotin mengikat kepada reseptor ini dan menyebabkannya terdedah. Kalsium dan ion lain mula memasuki sel dan ini menyebabkan pengumpulan kalsium.”


Menurut Zahedi, terlalu banyak kalsium dalam mitokondria adalah berbahaya. Mitokondria boleh membengkak, seterusnya mengubah morfologi dan fungsinya. Ia juga boleh memecahkan dan membocorkan molekul yang membawa kepada kematian sel.


“Tekanan nikotin yang berterusan akan menyebabkan kegagalan SIMH. Akibatnya, sel stem saraf akan rosak dan akhirnya mati,” tambah Zahedi. “Jika itu berlaku, sel khusus seperti astrosit dan neuron tidak dapat dihasilkan lagi daripada sel stem.”


Zahedi menambah, mitokondria sel stem yang rosak boleh mempercepatkan proses penuaan dan membawa kepada penyakit saraf degeneratif. Sel stem saraf boleh terdedah kepada nikotin melalui laluan organ penghidu. Pengguna menyedut wap, yang melalui laluan penghidu untuk sampai ke otak.


Talbot dan Zahedi menegaskan supaya golongan belia dan wanita hamil memberikan perhatian khusus terhadap keputusan penyelidikan ini.


“Otak mereka berada dalam tahap perkembangan yang kritikal,” ujar Talbot, pengarah Pusat Sel Stem UCR. “Pendedahan kepada nikotin sewaktu perkembangan pranatal atau remaja boleh memberi kesan kepada otak dalam pelbagai cara yang boleh menjejaskan memori, pembelajaran, dan proses kognitif. Tambahan pula, ketagihan dan kebergantungan kepada nikotin dalam kalangan golongan muda adalah masalah yang membimbangkan. Kami tetap menegaskan yang nikotin merosakkan sel stem saraf dan mitokondrianya. Masalah ini tidak boleh dipandang enteng kerana nikotin kini boleh didapati secara meluas dalam EC dan cecair isian semula.”


Sumber- Atena Zahedi et al. Mitochondrial Stress Response in Neural Stem Cells Exposed to Electronic CigarettesiScience (2019). DOI: 10.1016/j.isci.2019.05.034


Sumber – medicalexpress
Kredit Foto : Shutterstock


21total visits,17visits today


Norlida Ishak Shop